MAG sedia lebih 18,000 tempat duduk tambahan

MAG sedia lebih 18,000 tempat duduk tambahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) terdiri daripada Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings akan menyediakan lebih 18,000 kapasiti tempat duduk tambahan bagi menampung permintaan perjalanan udara ketika Aidilfitri nanti.

MAG dalam satu kenyataan memaklumkan,  tambahan kapasiti itu bagi menampung jangkaan lonjakan perjalanan domestik bermula 18 April hingga 1 Mei 2023.

Menurut MAG, ia tambahan kepada 20,000 tempat duduk yang ketika ini hampir habis dijual selepas dilancarkan pada 29 Mac lalu.

“Untuk perjalanan lancar semasa tempoh perjalanan puncak, Malaysia Airlines akan menaik taraf perkhidmatannya menggunakan Airbus A330 ke Kota Kinabalu pada 20 dan 30 April, serta 1 Mei.

“Malaysia Airlines juga akan menambah 54 lagi penerbangan tambahan ke Kuching, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kota Bharu, Alor Setar, Terengganu, Kuantan, Labuan, Bintulu, Sibu dan Miri untuk memastikan kemudahan penumpang.

“Dengan tambahan tempat duduk, tambang secara dinamik akan diselaraskan menurun agar lebih berpatutan untuk penumpang pulang ke kampung halaman mereka bagi menyambut hari raya,” katanya.

Tambahnya lagi, Firefly juga turut meningkatkan kekerapan penerbangannya ke Kota Bharu dan Kota Kinabalu untuk menyokong permintaan perjalanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd. Azmi berkata, pihaknya melihat permintaan positif dalam tempoh musim perayaan ini dan menggalakkan penumpang untuk merancang perjalanan mereka lebih awal.

“Sehingga Februari 2023, kapasiti syarikat penerbangan di bawah MAG sudah mencapai 85 peratus daripada 2019 dan kami menjangkakan peningkatan yang positif terutamanya dengan musim perayaan yang akan datang dan cuti sekolah.

“Kami menggalakkan orang ramai memanfaatkan kapasiti tambahan ini dan merasai kegembiraan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

“MAG juga komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam menjadikan perjalanan mudah diakses oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×