PETALING JAYA: Hasil Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) bagi tahun kewangan 2022, meningkat 21.6 peratus kepada RM117.5 juta daripada RM96.6 juta tahun sebelumnya.
Syarikat itu berkata, peningkatan hasil didorong oleh kenaikan pendapatan sewa, termasuk sewa perolehan yang lebih tinggi, pendapatan tempat letak kereta dan penghunian kadar purata bilik Hotel Classic di Muar, Johor.
Katanya, bagi tempoh dilaporkan, Hektar REIT mencatatkan keuntungan 24.8 peratus dalam Pendapatan Harta Bersih (NPI) kepada RM58.7 juta daripada RM47 juta tahun sebelumnya.
“Pendapatan bersih yang direalisasikan juga melonjak 187 peratus kepada RM36.4 juta berbanding tahun kewangan 2021.
“Sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan kewangan dan modal yang berhemat, Hektar REIT mengurangkan jumlah pinjaman, seterusnya mengurangkan nisbah gearing kepada 44.6 peratus daripada 47.2 peratus pada 2021,” katanya dalam kenyataan.
Hektar REIT mengumumkan bayaran dividen sebanyak 8 sen dengan hasil dividen yang memberangsangkan sebanyak 11.4 peratus, lebih tinggi daripada tahun kewangan 2019 dengan pulangan tahunan sebanyak 60.8 peratus berdasarkan prestasi harga saham.
Syarikat turut merekodkan peningkatan ketara dalam penilaian portfolio sebanyak RM41.6 juta, meningkatkan nilai Aset di Bawah Pengurusan (AUM) kepada RM1.206 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Johari Shukri Jamil berkata, keputusan tahun kewangan 2022 menunjukkan strategi Kumpulan membuahkan hasil yang diinginkan.
Ujarnya, syarikat akan terus bekerjasama dengan penyewa dan pihak berkepentingan utama lain untuk meningkatkan pengalaman keseluruhan membeli-belah di pusat beli-belah miliknya.
“Kami yakin dan percaya pusat beli-belah kekal sebagai destinasi pilihan hiburan, aktiviti sosial dan membeli-belah dalam kalangan rakyat Malaysia selagi pusat beli-belah kami kekal relevan.
“Sehubungan itu, kami merancang untuk menempatkan semula Subang Parade bagi meningkatkan lagi campuran penyewaan.
“Kami juga percaya terdapat potensi peningkatan untuk Segamat Central selepas pembukaan stesen Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) yang bertentangan dengan pusat beli-belah itu.
“Kami secara aktif meneroka jalan untuk pertumbuhan dengan memastikan portfolio jenama runcit yang kukuh di pusat beli-belah kami dengan tujuan untuk mencapai kadar penghunian yang lebih tinggi.
“Kami juga kekal komited untuk mengurangkan jejak alam sekitar kami dan meningkatkan tanggungjawab kami terhadap pihak berkepentingan kami dengan terus melaksanakan beberapa inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kerana ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan untuk diri kita sendiri dan komuniti kami,” katanya. – UTUSAN










