PETALING JAYA: Bahagian Penyelidikan Risiko Negara dan Industri Fitch Solutions mengekalkan skor skor Indeks Risiko Politik Jangka Pendek (STPRI) Malaysia pada 72.9 daripada 100.
Firma penyelidikan itu melalui laporan terbaharunya memaklumkan, meskipun risiko terhadap kesinambungan dasar telah berkurangan ekoran peralihan lancar kepada kerajaan gabungan pimpinan Pakatan Harapan (PH), ia terus menjangkakan cabaran kepada penggubalan dasar.
Menurut Fitch Solutions, kerajaan perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti dengan ideologi berbeza dilihat mampu membawa kepada kebuntuan dasar dan momentum reformasi yang perlahan.
Justeru, ia terus melihat kemungkinan cabaran dalam penggubalan dasar pada suku akan datang memandangkan penggubalan dasar di Malaysia secara relatifnya tidak terbeban sejak kerajaan gabungan pimpinan PH mula berkuasa pada Disember 2022.
“Namun ia masih perlu dilihat jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih di peringkat awal tempoh lima tahun akan dapat merangka dan melaksanakan reformasi ke atas perkara-perkara yang lebih berbaur politik dengan berkesan.
“Ia sama seperti era kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
“Oleh itu, kami mengekalkan skor STPRI Malaysia tidak berubah pada 72.9 daripada 100 buat masa ini, yang masih lebih rendah daripada markah 75.6 pada April 2018,” katanya.
Sementara itu, Fitch Solutions berkata pertimbangan berasaskan kaum mungkin akan terus membimbing dasar kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Anwar.
“Pertimbangan berasaskan kaum mungkin akan terus membimbing dasar di Malaysia walaupun Pakatan Harapan (PH) sebelum ini secara rutin menolak dasar keutamaan etnik, memihak kepada dasar berasaskan keperluan,” katanya.
Menurut firma penyelidikan tersebut, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bakal menyaksikan PH dan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) bakal bertanding di enam negeri.
“PH kini memegang Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala Kelantan, Terengganu dan kedah yang kebanyakannya negeri melayu yang lebih miskin berada di bawah kepimpinan PN.
“Kemenangan oleh PN boleh memberi tekanan kepada kerajaan campuran untuk melaksanakan lebih banyak dasar pro-Melayu bagi meningkatkan sokongan dalam kalangan kumpulan teras ini,” katanya. – UTUSAN










