Penglibatan bersandarkan kesediaan Taksonomi ASEAN - SC

Penglibatan bersandarkan kesediaan Taksonomi ASEAN – SC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memudahcara usaha serantau yang dilaksana oleh Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) untuk menjalankan perundingan bersasar bersama pihak berkepentingan.

Ia susulan pelancaran Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari (Versi 2) pada minggu lalu.

SC berkata, pihaknya dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor tenaga bagi menilai kesediaan mereka dalam memenuhi kriteria penapisan teknikal di bawah Taksonomi ASEAN.

Katanya, hasil daripada sesi libat urus ini akan diambil kira untuk memuktamadkan Versi 2, yang akan berkuat kuasa awal 2024.

“Inisiatif serantau ini menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan bersih sifar gas rumah hijau (GHG) seawal 2050, yang antara lain melengkapi agenda pemulihan hijau negara dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA),” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, Versi 2 yang dikeluarkan pada 27 Mac 2023, terdiri daripada Rangka Kerja Asas dan Kriteria Saringan Teknikal (TSC) yang lengkap untuk sektor fokus pertama, iaitu sektor Bekalan Elektrik, Gas, Wap dan Penyaman Udara (sektor Tenaga) di bawah Piawaian Lanjutan (Plus Standard).

Tambahnya, Rangka Kerja Asas dalam Versi 2 juga sejajar dengan Perubahan Iklim dan Taksonomi berasaskan Prinsip yang dikeluarkan oleh BNM; dan komponen alam sekitar Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Berasaskan Prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia (Taksonomi SRI) yang dikeluarkan oleh SC tahun lepas.

“Taksonomi ini, secara kolektif, akan mewujudkan peluang dan merangsang lebih banyak aliran pelaburan, termasuk dana asing ke dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, SC mengalu-alukan pelancaran Versi 2 Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari.

“Penambahbaikan dalam Versi 2 merupakan langkah penting dalam mengemudi ASEAN sebagai rantau dan negara anggotanya secara individu untuk beralih ke arah kemampanan,” kata beliau.

SC adalah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993.

Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×