PETALING JAYA: Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB), sebuah syarikat milik penuh anak syarikat Petronas memeterai Perjanjian Farm Out (FOA) dengan SMJ Sdn. Bhd. (SMJSB), sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah untuk penjualan 50 peratus kepentingan penyertaan PCSB dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) di Samarang.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Hasliza Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat.
Petronas berkata, urus niaga tersebut sedang menunggu kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat terdahulu.
“Bulan lepas, PCSB dan SMJSB memeterai Perjanjian Utama untuk merekodkan serta mengesahkan penyertaan SMJSB dalam PSC Samarang, dan ini digantikan dengan pelaksanaan daripada FOA.
“FOA menandakan perkembangan penting kedua antara PCSB dan SMJSB berikutan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sabah pada 7 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Di bawah FOA, PCSB akan terus menjadi pengendali PSC Samarang dengan SMJSB sebagai rakan kongsi bukan operasi.
PSC Samarang yang terletak kira-kira 50 kilometer dari pantai Sabah kini mengeluarkan kira-kira 36,000 tong sehari bersamaaan minyak sehari (kboe/d) untuk minyak dan gas.
Gas pada 134 juta kaki padu standard sehari (MMscf/d) adalah sebahagian daripada bekalan untuk pelanggan di Kota Kinabalu dan Labuan.
Kerjasama ini membuktikan komitmen berterusan Petronas untuk berkongsi aspirasi pertumbuhan mampan untuk industri minyak dan gas domestik. – UTUSAN










