PETALING JAYA: Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) hari ini menerbitkan kertas perundingan awam kedua (CP2) dan mempelawa maklum balas tentang cadangan rangka kerja kawal selia bagi perniagaan kredit dan perniagaan perkhidmatan kredit.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang juga Ketua Pasukan Petugas CCOB, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit perlu dikawal selia serta mematuhi standard amalan atau profesionalisme yang tinggi.
“Pasukan Petugas CCOB akan terus mengadakan sesi libat urus secara meluas dengan industri yang belum dikawal selia pada masa ini serta dengan pengguna bagi menyediakan rangka kerja pengawal seliaan yang praktikal.
“Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan perlindungan kepada para pengguna dan pada masa yang sama menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang dapat memenuhi keperluan individu dan perniagaan kecil dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, CP2 merupakan lanjutan daripada kertas perundingan awam pertama yang diterbitkan pada 4 Ogos tahun lalu di mana ia meliputi keperluan berhubung dengan pemberikuasaan, tadbir urus dan amalan yang dikehendaki daripada semua penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank yang belum dikawal selia pada masa ini.
Katanya, penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit merujuk perniagaan yang menjalankan aktiviti Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), perkhidmatan Pemajakan (Leasing) dan Pemfaktoran (Factoring), Agensi Kutipan Hutang (DCA), Pembeli Pinjaman Terjejas (ILB) serta Perkhidmatan Kaunseling dan Pengurusan Hutang (DMA).
“Skop CP2, antara lain, mencadangkan keperluan pelesenan yang penting termasuk keperluan kewangan minimum, tadbir urus serta keperluan syariah bagi perniagaan kredit berlandaskan syariah Islam.
“CP2 turut menetapkan amalan profesional dan piawaian pinjaman berhemat yang perlu dipatuhi oleh penyedia kredit yang akan diberikan lesen,” katanya.
Pihak yang berkepentingan dan orang ramai dipelawa untuk mengemukakan maklum balas dan ulasan mengenai kertas rundingan kepada Pasukan Petugas CCOB selewat- lewatnya pada 15 Mei 2023.
Lawati laman web CCOB untuk menggunakan borang maklum balas CCOB atau e-mel kepada [email protected]. – UTUSAN










