Johor bakal terima 'durian runtuh' RM80 bilion dari China

Johor bakal terima ‘durian runtuh’ RM80 bilion dari China

LEE Ting Han (kiri) dan Mohamad Fazli (tiga dari kiri) melihat projek landasan RTS Link yang dalam pembinaan merentasi Selat Tebrau ketika mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut di Johor Bahru. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor dijangka akan menerima ‘durian runtuh’ apabila sebahagian besar daripada pelaburan sebanyak RM170 bilion berjaya dibawa masuk dari China.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, pelaburan itu nanti akan memberi limpahan ekonomi dalam sektor yang berkaitan.

“Sebelum Rongsheng Petrochemical Co. Ltd., membuat keputusan untuk melabur di Malaysia, kita telah bantu mereka sejak Julai tahun lalu apabila mereka telah mengadakan lawatan beberapa kali ke kawasan Pengerang, Kota Tinggi.

“Malah, pihak syarikat berkenaan juga telah mengadakan perbincangan beberapa kali dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini sebelum turut bertemu di Singapura, Februari lalu.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah berjumpa pengurusan tertinggi syarikat Rongsheng di Beijing, China baru-baru ini dan berjaya mendapatkan komitmen syarikat untuk melabur di Malaysia,” katanya selepas bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengadakan lawatan ke tapak projek Sistem Rapid Transit (RTS) Link di Stulang Laut, di sini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia meraih komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion daripada pelabur China, menyaksikan pelaburan yang paling tinggi dalam sejarah.

Daripada keseluruhan komitmen China, dianggarkan sebanyak RM80 bilion akan dilabur oleh Rongsheng Petrochemical bagi kilang penapisan petrokimia di Pengerang.

Ting Han berkata, sekiranya dapat direalisasikan, pelaburan itu akan menjadi projek terbesar di negara ini selepas projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) oleh Petronas di Pengerang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×