Pensyarah politeknik hidap kanser payu dara tahap empat

Pensyarah politeknik hidap kanser payu dara tahap empat

NOORAIN Farhanah Abdul Ghani yang menghidap kanser kini dijaga sepenuhnya oleh ibu, Senah Mat Zin di Felda Tersat, Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu. - FOTO/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Syawal yang bakal menjelma bagaikan tiada kemeriahan dan dirasakan suram bagi seorang ibu tunggal di sini yang kini terlantar atas katil setelah disahkan menghidap kanser payu dara tahap empat sejak Mei tahun lalu.

Noorain Farhanah Abdul Ghani, 36, dari Felda Tersat, Ajil di sini yang merupakan seorang pensyarah di politeknik terpaksa bergantung lampin pakai buang dan dijaga sepenuhnya oleh ibu, Senah Mat Zin, 72.

Menurutnya, kanser yang dihidapnya juga telah merebak ke sebahagian tulang belakang dan tulang peha kanan sehingga terpaksa dipotong bagi digantikan dengan besi sepanjang kira-kira 12 sentimeter.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini saya bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah. Kesihatan saya kerap terganggu ketika di sana dan apabila jalani pemeriksaan kesihatan sekitar Mac tahun lepas setelah terjatuh saya dimaklumkan alami ‘soft injury’ pada tisu.

“Kesihatan makin terjejas sehinggalah pada Mei saya jalani pemeriksaan kesihatan di Kuala Terengganu, doktor beritahu hasil diagnosis saya hidap kanser payudara tahap empat namun belum merebak ke organ dalaman.

“Hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu sehinggalah kini saya tidak lagi dapat berjalan dan duduk, hanya terbaring sahaja. Setiap hari saya berdoa agar diberikan kekuatan serta kurangkan kesakitan dirasakan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah ibu seorang anak ini, pembedahan membuang sebahagian tulang paha kanan dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II Kota Bharu, Kelantan pada Ogos tahun lalu dan sehingga kini masih jalani rawatan susulan di hospital berkenaan.

Katanya lagi, dia terpaksa menyewa ambulans bagi tujuan berkenaan dan selain HRPZ II dia juga perlu jalani rawatan susulan secara berkala di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan kos yang tinggi begitu membebankannya.

“Setiap kali ingin ke HRPZ II, saya perlu menyewa ambulans dengan kadar bayaran cecah RM1,200 pergi dan balik selain menyewa inap desa dengan kadar RM170 semalaman serta kos ke HSNZ pula RM300.

“Saya juga perlu belanjakan lebih RM1,000 sebulan untuk beli ubat bagi mencairkan darah serta lampin pakai buang. Buat masa ini, masih dapat gaji penuh namun telah dimaklumkan selepas ini gaji bulanan akan dipotong separuh berikutan saya sudah tidak mampu bekerja lagi.

“Persekolahan anak, Ade Nur Ariyana Abd Fattah, 8, diuruskan abang yang tinggal berdekatan. Dialah yang tolng jemput dan hantar anak saya ke sekolah setiap hari,” katanya yang hanya sempat melapor diri bertugas di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun Ogos lalu sebelum terlantar.

Orang ramai yang ingin membantu bagi meringankan beban Noorain boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Noorain Farhanah di nombor akaun, 163037113452 atau hubungi talian 011-25578203. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×