Jumlah kekayaan bilionair global susut AS$500 bilion

Jumlah kekayaan bilionair global susut AS$500 bilion

ELON MUSK bukan lagi individu terkaya di dunia, menurut majalah Forbes. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah kekayaan bilionair global susut sebanyak AS$500 bilion (RM2.2 trilion) setakat Mac lalu kepada AS$12.2 trilion (RM53.76 trilion) daripada AS$12.7 trilion (RM55.96 trilion) setahun lalu, menurut majalah Forbes.

Penyusutan kekayaan itu disebabkan pengurangan 28 bilangan bilionair global daripada 2,668 orang tahun lalu kepada 2,640 individu.

“Penyusutan kekayaan mereka disebabkan kejatuhan pasaran saham, penggulungan syarikat unicorn dan kenaikan kadar faedah,” kata Forbes dalam satu laporan.

Menurutnya, hampir separuh daripada senarai itu lebih `miskin’ berbanding setahun lalu, termasuk Elon Musk, yang jatuh daripada No.1 kepada No.2 selepas pemerolehan mahal Twitter, menenggelamkan saham Tesla.

Katanya, kedudukan Musk diambil alih oleh Bernard Arnault, `bos’ barangan mewah LVMH, sekali gus menjadi warga Perancis pertama mendahului ranking individu atau orang terkaya di dunia.

Forbes berkata, Amerika Syarikat kekal negara paling ramai memiliki bilionair berjumlah 735 orang dengan jumlah kekayaan AS$4.5 trilion (RM19.83 trilion).

“Ia diikuti oleh China (termasuk Hong Kong dan Macau) seramai 562 bilionair dengan kekayaan berjumlah AS$2 trilion (RM8.81 trilion) dan India ketiga, dengan 169 bilionair dan jumlah kekayaan AS$675 bilion (RM2.97 trilion).

Untuk menilai jumlah kekayaan bilionar terbabit, Forbes menggunaan kadar pertukaran dan harga pasaran saham dari 10 Mac 2023.

Forbes berkata, bilionair teknologi mengalami satu lagi tahun yang sukar, apabila merosot dari segi bilangan dan jumlah kekayaan mereka pada ranking berkenaan.

Bagi tempoh berkenaan, Forbes mendapati 313 bilionair membuat kekayaan dalam sektor teknologi berbanding seramai 332 orang tahun lalu.

Jumlah kekayaan mereka juga susut AS$200 bilion (RM881.28 bilion) kepada AS$1.9 trilion (RM8.37 trilion) daripada AS$2.1 trilion (RM9.25 trilion) tahun sebelumnya.

Forbes berkata, bilionair paling `rugi’ ialah Pengasas Amazon, Jeff Bezos selepas kekayaannya susut sebanyak AS$57 bilion (RM251.17 bilion) berbanding setahun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×