Istilah 'bohong', 'tidak betul' jadi pertikaian ahli Parlimen

Parlimen: Istilah ‘bohong’, ‘tidak betul’ jadi pertikaian, tiga ahli Parlimen diarah keluar Dewan

AWANG Solahuddin Hashim (kiri), Shahidan Kassim (tengah) dan RSN Rayer diarah keluar Dewan Rakyat ekoran pertikaian istilah 'bohong' dan 'tidak betul'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemahaman istilah ‘bohong’ dan ‘tidak betul’ menjadi perdebatan sekali gus mencetus suasana tegang dalam kalangan ahli Dewan Rakyat sehingga menyebabkan tiga wakil rakyat diarah keluar Dewan selama satu jam. 

Ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Ia bermula apabila Awang Solahuddin dalam ucapannya mendakwa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai berbohong. 

Ini kerana beliau didakwa mengeluarkan kenyataan tidak betul berhubung pengurangan tanah rizab Melayu di Kedah, dengan menyatakan terdapat ‘bukti keluasannya meningkat’. 

Sedangkan, pada 29 Mac lalu, Nik Nazmi memaklumkan, tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkurang antara 2021 dan 2022.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mula membangkitkan isu bohong di Dewan Rakyat dan menuntut Awang Solahuddin supaya menarik semula dakwaan, namun beliau enggan tunduk kepada tuntutan tersebut. 

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng kemudian mengarah Awang Solahuddin keluar Dewan selepas didapati melanggar Peraturan Mesyuarat 36(6) mengenai larangan ahli Dewan Rakyat mengeluarkan sangkaan jahat terhadap ahli lain.

Guan Eng: Tadi saya ada dengan Yang Berhormat (YB) sebut menteri bohong tidak? 

Azli Yusof (PH-Shah Alam): Saya saksi, ada. 

Guan Eng: Kalau ada saya minta YB tolong tarik balik. 

Awang Solahuddin: YB, saya mahu beritahu fakta yang diberi menteri tidak betul, jadi, bohonglah. Takkan perkara tidak betul mahu kata betul. Apalah Bagan, patutnya anda semua ini Bahasa Melayu kena faham sikit. Sudah tidak betul, bohonglah (maksudnya). 

Syahredzan Johan (PH-Bangi): Tidak betul tidak semestinya bohong, tidak betul boleh silap, jadi, tarik baliklah. 

Kiong Yieng: Saya minta Pendang tarik balik bohong, tidak betul, maksudnya tidak betul, bukan bohong. Mahu tarik balik atau tidak? 

Awang Solahuddin: Tidak. 

Kiong Yieng: Jadi, keluarlah. 

Pertikaian itu mengakibatkan ramai Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mencelah bagi menerangkan maksud sebenar istilah bohong, termasuk mengetengahkan makna dinyatakan dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada 29 Mac lalu, Nik Nazmi memaklumkan, jumlah tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menurun antara tahun 2021 dan 2022.

Beliau menjelaskan, tanah rizab Melayu di Kedah berkurang daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar. Perak merekodkan penurunan daripada 953,42.67 hektar kepada 953,40.87 hektar dan Kuala Lumpur daripada 1,003.56 hektar kepada 99.48 hektar.

Sedangkan, menerusi ciapan di Twitter berkongsi tangkap layar data semalam, katanya, secara keseluruhan tanah rizab Melayu meningkat daripada 1947 hingga 2022. Manakala penurunan Kedah merujuk antara tahun 2021 sehingga 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×