KLANG: Baru kematian suami dua bulan, Sabtu lalu ibu tunggal lima anak itu hilang tempat berteduh apabila rumah mereka di Kampung Delek Kanan di sini hangus dalam kebakaran.
Kini nasib Ispahani Ismail, 41, diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana baru sahaja kehilangan suaminya, Allahyarham Mohd. Rifaie Mohd. Nafiah, 41, akibat penyakit berkaitan darah.
Menurut wanita itu, kebakaran itu berlaku ketika dia sedang berehat sendirian dalam biliknya kira-kira pukul 10 pagi sebelum mendengar teriakan anak sulung, Asyfa Nurin Eirdeena, 12, yang melihat api marak di hadapan rumah.

“Asyfa menjerit sambil terus meluru masuk ke dalam bilik dan memberitahu berlakunya kebakaran di hadapan rumah. Bila keluar dari bilik, saya lihat api sudah marak dan memusnahkan bahagian depan rumah.
“Saya terus ke bilik anak kedua, Ahmad Fatah Najwan, 10, dan kejutnya daripada tidur untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sebuah inap desa tidak jauh dari kediamannya yang musnah.
Kata Ispahani, api yang marak itu turut merebak ke rumah ibu mertuanya, Nik Rohana Nik Lah, 62, yang tinggal berjiran dengannya.
Luahnya lagi, selepas pemergian suaminya, dia sekeluarga merancang untuk pulang beraya dekat kampungnya di Maran, Pahang, tetapi terpaksa melupakan hasrat itu selepas kereta miliknya turut terbakar.
Sementara itu, menurut Nik Rohana, semasa kejadian, dia membawa tiga cucunya yang juga anak Ispahani, Ahmad Faqehuddin, 4, Ahmad Fawwaz, 8, dan Asyfa Nur Einsyirah 9 bulan ke surau Sayyidah Zainab kira-kira 50 meter dari rumahnya bagi menemaninya menghadiri kelas al-Quran.
“Apabila nampak kepulan asap di rumah, saya terus balik ke rumah dan dapati rumah sudah terbakar. Saya tidak dapat selamatkan apa-apa tapi syukur kerana menantu dan cucu tidak apa-apa,” katanya yang sudah mendiami rumah berkenaan lebih 40 tahun lalu. – UTUSAN










