Berlaku adil kepada doktor kontrak - Utusan Malaysia

Berlaku adil kepada doktor kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN agar doktor kontrak diserap ke jawatan tetap dengan syarat tanpa pencen sesuatu yang baharu di negara ini. Formula itu antara cadangan yang wajar tetapi pada masa yang sama jika kerajaan bersedia menerima kaedah tersebut, pelaksanaannya perlulah ditambah baik dengan menyertakan sekali caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sistem caruman KWSP yang dipakai di sektor swasta itu adalah jaminan saraan mereka selepas bersara dari lapangan perubatan. Selain itu, kerajaan juga wajar memberi pertimbangan lain tentang elaun dan faedah yang difikirkan layak untuk golongan itu.

Alasan saraan pencen akan menambah beban kewangan kerajaan ada kebenarannya tetapi pada masa yang sama doktor kontrak perlu diberikan hak sewajarnya setanding dengan pengetahuan, daya tahan dan kemampuan mereka menguruskan sistem kesihatan negara.

Pada masa ini dianggarkan terdapat kira-kira 20,000 doktor kontrak yang berkhidmat di hospital kerajaan, dan setakat 2016 hingga Jun 2021 hampir 5,000 doktor kontrak membabitkan 948 pakar perubatan dan 4,028 pegawai perubatan meletakkan jawatan sepanjang tempoh itu.

Kehilangan pakar-pakar perubatan ini sewajarnya menjadi renungan semua kerana menjadi satu kerugian kehilangan mereka jika keadaan sekarang berterusan tanpa noktah.

Dalam Belanjawan 2023, Kementerian kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar iaitu RM36.3 bilion termasuk RM3 bilion setahun untuk lantikan baharu secara tetap dan kontrak bagi lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Pada masa yang sama, kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk menanggung pencen ahli parlimen setiap bulan yang dibenarkan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraaan) 1980 (Akta 237).

Isu kos pencen seorang ahli Parlimen pernah dibangkitkan pada 2021 dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat yang dikatakan jika digabung semua jawatan yang dipegang dianggarkan menjangkau RM100,000 sebulan.

Jika isu kos pencen dibangkitkan dalam penyelesaian nasib doktor kontrak, kenapa tidak pencen ahli Parlimen diteliti dan dilihat sejauh mana ia relevan pada masa ini. Ini cadangan.

Ketika ini walaupun kerajaan memberi jaminan masalah doktor kontrak akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun, hakikatnya jumlah mereka masih kurang jika dibandingkan dengan bilangan pesakit.

Sehingga kini Malaysia masih belum memenuhi cadangan nisbah seorang doktor kepada 400 pesakit untuk kemudahan penjagaan kesihatan awam.

Di sesetengah hospital, nisbah boleh meningkat kepada 1:1,000 pesakit dan pada masa sama terdapat juga kekurangan dalam bilangan orang awam berbanding pakar kesihatan.

Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2030 dengan 15 peratus daripada populasi negara ini akan berusia 60 tahun ke atas. Justeru, khidmat kesihatan ketika itu tentulah meningkat berbanding dengan kemampuan negara melatih pekerja kesihatan dalam waktu singkat.

“Masa yang mencukupi juga diperlukan untuk melatih pekerja penjagaan kesihatan. Kebimbangan kami adalah mungkin tiada pakar yang mencukupi pada masa hadapan kerana permintaan untuk perkhidmatan pakar semakin me­ningkat dan dijangka terus meningkat disebabkan populasi yang semakin tua,” kata seorang doktor pakar.

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×