PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperhebatkan Insiatif E-invois Kebangsaan bermula tahun ini dalam usaha menambah pendapatan negara dan mengelak ketirisan percukaian.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kaedah itu dijangka dapat mengatasi ekonomi gelap disebabkan sikap peniaga tidak jujur ‘lari’ membayar cukai.
Bahkan beliau berkata, sistem invois elektronik akan dibuat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu seumpama mekanisme Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.
“Jika kita belum boleh melaksanakan GST yang dihapuskan lima tahun lalu, maka e-invois perlu diperhebat dan kita berharap ia boleh bermula tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan platform komunikasi atas talian, e-Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam yang baharu, di sini semalam.
Pada 9 Mac lalu, ketika menjawab soalan di Parlimen, beliau membayangkan ada kaedah percukaian lain bagi menggantikan GST untuk memastikan sektor perniagaan lebih telus.
Inisiatif E-invois Kebangsaan merupakan kerjasama strategik LHDN dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia berdasarkan model pematuhan pengurusan dokumentasi cukai.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, apabila dilaksanakan kelak, peniaga tidak boleh menipu sebarang invois yang menentukan margin keuntungan setelah ditolak hasil jualan bersih.
Ujarnya, e-invois turut diharap mampu menambah pendapatan kerajaan yang ketika ini amat rendah apabila kurang 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – UTUSAN











