Penyatuan parti Melayu hanya sebuah retorik

Penyatuan parti Melayu hanya sebuah retorik

ORANG Melayu masih bersatu. Tidak pula mereka berpecah-belah sehingga menyebabkan negara kacau-bilau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyatuan parti-parti Melayu adalah tidak lagi nyata dan sengaja dibangkitkan untuk menakutkan rakyat terutamanya bangsa Melayu.

Pensyarah Kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, konsep penyatuan Melayu kini telah disalah erti dan ‘ditunggang’ ahli politik.

“Orang Melayu masih bersatu. Tidak pula mereka berpecah-belah sehingga menyebabkan negara kacau-bilau. Parti-parti politik Melayu yang tidak bersama dan itu tidak menjadi masalah kerana ini negara demokrasi. Rakyat layak memilih.

“Penyatuan Melayu yang dilaungkan ini adalah retorik semata-mata. Rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu masih bersama pertahankan hak bumiputera, penggunaan bahasa Melayu dan sebagainya.

“Ini realitinya, kita perlu menerima negara kita demokrasi berparlimen yang membenarkan parti politik wujud. Sekarang ini kita tengok ada pihak yang menakutkan rakyat sedangkan semua hak orang Melayu masih terpelihara. Perdana Menteri kita itu pun orang Melayu,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti-parti Melayu memilih untuk bertanding berasingan kecuali bagi Perikatan Nasional yang merupakan gabungan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan Parti Pas serta Parti Gerakan.

Pada masa itu, Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad, Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam nada sama, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata jika terdapat ahli politik menggesa untuk penyatuan Melayu maka sudah tentu kerajaan yang mentadbir sekarang bertindak mengikut nasihat Yang di-Pertuan Agong.

“Agong sudah nasihat untuk wujudkan kerajaan perpaduan yang menggabungkan semua parti politik tetapi ada parti yang tidak mahu perkara itu.

“Penyatuan parti-parti politik Melayu adalah ‘manis mulut’ ahli politik untuk penyokongnya sedangkan negara masih stabil dan ini adalah masa untuk bekerja.

“Untuk mencabar hak orang Melayu, ia akan perlu lalui Parlimen juga kerana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×