PONTIAN: Seorang anggota Rela di Putrajaya hilang empat ahli keluarga dalam sekelip mata selepas kesemua mereka maut dalam kemalangan di Jalan Parit Semerah-Parit Kudus, di sini, petang kelmarin.
Sopiah Roz, 57, berkata, nahas itu amat menyedihkannya kerana sebelum itu kesemua mereka datang menziarahi adiknya, Baharuddin Roz, 41, yang meninggal dunia disebabkan terjatuh di bilik air di rumah ibu mentuanya di Kampung Parit Bengkok, malam kelmarin.
Dalam kemalangan petang kelmarin, suaminya, Jamaludin Abd. Wahab, 58, anaknya, Muhamad Shah Rizal Jamaludin, 22, dan adik bongsunya, Muhamad Nor Azlan Roz, 28, maut di tempat kejadian manakala adik iparnya, Mohd. Faizal Saari, 35, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru malam tadi.
Katanya, dia tidak menyertai suaminya dan mangsa lain yang keluar sebentar sebelum kemalangan itu berlaku.
“Saya ada menghubungi suami beberapa kali tetapi tidak dijawab sebelum panggilan berikutnya dijawab oleh anggota polis yang memberitahu tentang kemalangan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Pontian.
Suaminya yang turut bertugas sebagai anggota Rela di Putrajaya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan bergegas ke Pontian selepas dimaklumkan tentang adik iparnya yang meninggal dunia.
Menurut Sopiah, anaknya Allahyarham Muhamad Shah Rizal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggalkan seorang isteri, Siti Zulaikha Bah Seni, 20, dan seorang anak perempuan berusia setahun.
“Muhamad Nor Azlan Roz, yang berlainan ibu dengan saya, masih bujang dan merupakan adik bongsu seibu dengan Baharudin Roz,” jelasnya.
Sementara itu, Siti Zulaikha ketika ditemui enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kehilangan suaminya itu.
Jenazah Muhamad Nor Azlan Roz dan Mohd. Faizal Saari dijangka dikebumikan di Gombak, Kuala Lumpur, manakala jenazah dua beranak, Muhamad Shah Rizal dan ayahnya, Jamaludin akan dikebumikan di Tapah, Perak, malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga yang dinaiki empat mangsa dari arah Parit Semerah ke Parit Kudus dan Proton Perdana dari arah bertentangan.
Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta Proton Saga dilaporkan hilang kawalan lalu bertembung dengan Proton Perdana mengakibatkan terjunam ke dalam parit berhampiran.
“Kesemua mereka tersepit di dalam kereta tersebut, dengan pemandu dan dua penumpang mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan kaki serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HSA tetapi disahkan meninggal dunia malam tadi.
“Pemandu kereta Proton Perdana, Danny Tauh, 20, turut cedera dan kini dirawat di Hospital Pontian,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










