KUALA LUMPUR: Sekretariat Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan (ACFIN) telah memulakan tugas merangkumi empat skop utama selaras dengan mandat yang telah digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Sekretariat Bersama Jawatankuasa Penasihat, Nurul Izzah Anwar berkata, fokus tersebut termasuk hasil dan perbelanjaan kerajaan yang melibat dan menghasilkan peningkatan hasil negara serta mengurangkan perbelanjaan mengurus.
Selain itu ujarnya, fokus subsidi dan jaringan perlindungan sosial yang melibatkan usaha menyemak dan menstruktur semula subsidi sedia ada, di samping menyediakan jaringan perlindungan sosial yang menyeluruh.
“Kami turut memberi penekanan terhadap syarikat berkaitan kerajaan yang secara khusus memfokuskan kepada aspek kewajaran dalam konteks semasa dan menyelaraskan syarikat-syarikat ini jika bersesuaian, serta hutang negara yang meliputi aspek tadbir urus yang cekap dan berkesan,” katanya dalam taklimat media di sini semalam.
Jelas beliau, Jawatankuasa Penasihat mengakui akan kewujudan banyak kajian dan dapatan yang telah dilakukan sebelum ini merangkumi empat tumpuan tersebut termasuk oleh kerajaan.
“Oleh itu, kami akan menilai semula dan mengambil kira kajian dan dapatan terdahulu dengan menyuntik perspektif baharu yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Kami juga akan menjalin kerjasama dan kesinambungan merentasi kementerian supaya tidak berlaku pertindanan, sebagai contoh mengenai kos sara hidup rakyat (di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup).
“Tugas kami adalah melaporkan kepada Tan Sri Mohd. Hassan Marican sebelum mengemukakan pandangan dan nasihat kepada Menteri Kewangan. Langkah seterusnya adalah tertakluk kepada budi bicara Menteri Kewangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Bersama Jawatankuasa Penasihat, Khairil Anuar Ramli berkata, Jawatankuasa Penasihat menyedari isu-isu yang didepani adalah kompleks serta pelbagai dimensi yang saling terangkai dan mencakupi keserentakan struktur dan legasi.
“Jawatankuasa Penasihat menekankan pentingnya melaksanakan penelitian yang mendalam dan menyeluruh termasuk mengadakan sesi perbincangan berkelompok untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.
“Ini bagi memastikan semua cadangan yang dikemukakan adalah adil, objektif, komprehensif, mantap serta mampan bagi memastikan kepentingan negara terpelihara dan kekal utuh untuk jangka masa panjang. Proses ini menuntut pertimbangan yang teliti,” ujarnya.
Laporan dan cadangan daripada Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan yang ditubuhkan pada 7 Februari lalu adalah tertakluk kepada Aka Rahsia Rasmi 1972.
Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican dan dianggotai Pengerusi Sarawak Energy Bhd., Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sendirian Berhad, Datuk Ahmad Fuad Md. Ali; Profesor Ulung Ekonomi Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Datuk Dr. Rajah Rasiah dan Profesor Ekonomi, Sunway University Business School, Dr. Yeah Kim Leng.
Sekretariat kepada Jawatankuasa Penasihat telah dibentuk dan beroperasi di Menara Berkembar Petronas, diketuai bersama oleh Khairil Anuar dan Nurul Izzah. – UTUSAN









