SEGAMAT: Setiap kali bulan Ramadan, pelbagai jenis juadah unik menjadi taruhan para peniaga yang inovatif di bazar mahupun gerai makanan milik masing-masing.
Bagi Mohd. Noor Azam Sujari, 38, dia memberanikan diri membawa menu ‘lamb shank’ untuk dijual buat pertama kalinya di bazar Ramadan di Bandar Utama, di sini.
“Saya terinspirasi apabila melihat Chef Ammar menjual lamb shank di Bazar Shah Alam tahun lalu yang menjadi tular. Kebetulan saya juga mempunyai restoran serta katering sendiri. Jadi, pengalaman memasak yang ada saya cuba aplikasikan bagi menu lamb shank ini.
“Alhamdulillah, lamb shank menjadi salah satu menu kegemaran orang Segamat bulan puasa ini. Setiap hari jualan lamb shank mendapat sambutan yang memberangsangkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Noor Azam berkata, lamb shank yang dijual dengan harga RM45 disertakan nasi beriani, dalca sayur serta papadom tersebut mampu terjual anrata 50 sehingga 60 set sehari.
“Dua tahun lepas saya berhajat belikan baju raya untuk anak-anak yatim tetapi memandangkan kita Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hajat saya tidak kesampaian. Syukur Alhamdulillah, akhirnya baru-baru ini saya dapat juga belikan baju raya untuk anak-anak yatim hasil jualan lamb shank serta simpanan daripada perniagaan katering, tercapai juga hajat saya,” kongsinya.
Seramai 47 orang anak yatim menerima sumbangan baju raya berserta sampin bagi lelaki dan baju kurung bagi perempuan.
Noor Azam dibantu oleh isterinya, Norazazaliza Mohamad Khalid, 38, serta beberapa pembantu di bazar Ramadan setiap hari yang menjual lamb shank merah dan lamb shank briani.
Bapa kepada empat cahaya mata itu juga telah lapan tahun berkecimpung dalam bidang katering bagi majlis berskala besar seper ti perkahwinan serta kenduri-kendara.
Buffet Ramadan turut ditawarkan di Restoran Citarasa D’zam dengan bayaran hanya RM35 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak dengan pelbagai sajian Melayu, masakan barat, kambing golek serta kuih-muih tradisional. – UTUSAN










