NAMA pelakon, pengacara dan penyanyi ini sering kali singgah di carta artis kontroversi. Bagaikan tidak lengkap tahun itu andai nama Janna Nick tidak tular di laman sosial. Itu tanda dia punya pengaruh sendiri.
Memulakan tahun ini dengan kontroversi ‘perseteruan’ dengan netizen gara-gara ciapannya, Janna dianggap artis bermasalah. Mudah melenting tatkala berdepan dengan kritikan dan kecaman.
Namun tiba-tiba sahaja pelakon ini mengangkat bendera putih tanda mengalah. Permohonan maaf secara terbuka di Instagramnya mencetuskan tanda tanya. Mengapa dia tiba-tiba sahaja mengaku kalah?
Adakah benar dia sudah dihantuk keinsafan dan disedarkan dengan kekhilafan diri? Ataupun itu adalah sekadar satu lagi ‘rancangan’ untuk meraih publisiti? Namun sejujurnya, jika diamati, air mata itu ikhlas dari hatinya.
Bercakap kepada HITS, Janna meluahkan rasa hatinya. Dia sedar kesilapannya berbalah dengan netizen. Apa yang telah dilakukan adalah kekhilafan diri yang mungkin tidak berfikir panjang ketika itu.
Tetapi tidakkan dia seolah-olah menjatuhkan maruah diri? Mengakui kebodohan kerana bergaduh dengan warganet? Bukankah itu akan membunuh harga diri dan statusnya sebagai anak seni?
“Tidak sama sekali. Saya tidak fikir soal maruah atau harga diri. Saya sedar kesilapan diri. Ucapan maaf itu memang tulus dari hati. Ini bukan isu jatuh maruah atau apa. Kalau kita buat silap, kita minta maaf.
“Saya mahu mulakan tahun ini dengan positiviti. Jika dilihat awal tahun saya sudah ‘bergaduh’ dengan warganet. Saya tidak dapat apa-apa kecuali negativiti. Itu tidak baik untuk kesihatan mental dan jiwa.
“Jadi lebih baik saya mengaku kalah dan sedar, bergaduh dengan warganet tidak membawa apa-apa kebaikan. Saya mahu bermula kembali. Bernafas dalam tenang dan berfikiran positif. Tak mahu gaduh-gaduh,” katanya.
TERIMA KASIH PEMINAT
Ditanya apakah yang mengerakkan hatinya untuk meminta maaf, Janna menahan sebak. Perlahan dia menjawab sokongan peminat terhadap drama Melastik Ke Hatimu adalah pemula langkah.
Mengakui hatinya tersentuh dengan sokongan tiada berbelah bahagi terhadapnya walaupun isu perseteruan itu mencetuskan kontroversi, Janna tidak menyangka drama itu sohor kini di media sosial saban minggu.
“Bila tengok peminat terus menyokong drama itu, kesedaran dan rasa bersalah itu menghantui diri. Saya muhasabah diri kembali. Walaupun ada yang gelar saya artis bermasalah, tetapi peminat masih sayang.
“Itu yang buat saya rasa tidak mengapa kalau kita meminta maaf. Mengakui kesilapan diri. Nak kata ‘Netizen 1- Janna Nick 0’ pun boleh. Saya terima itu sebagai satu pengajaran yang memberi pengalaman,” katanya.

BELAJAR BERTENANG
Belajar daripada pengalaman, Janna menasihati diri sendiri untuk tidak malu meminta maaf andai kesilapan itu hadir daripada diri sendiri. Dia tidak perlu menunduk menyorok wajah hanya kerana risau dicemuh.
Malah melalui satu episod yang bakal memalit lumpur dalam kanvas seninya yang penuh warna warni, Janna juga mengajar diri untuk lebih sensitif dan tidak mudah mengeluarkan pendapat kecuali dia berada dalam posisi kebenaran.
Tidak meletakkan diri sebagai seorang yang mudah melenting ketika berdepan kontroversi, penyanyi Akan Bercinta ini menganggap dirinya mudah menjawab tanpa menyusun kata-kata terlebih dahulu apabila dikecam.
“Saya perlu bertenang dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan. Kadang-kadang niat kita baik namun ada pihak yang salah anggap. Jadi lebih baik kita ambil masa bertenang dan fikir ayat terbaik supaya tidak salah cakap.
“Kalau boleh, saya tidak mahu mengundang negativiti dalam kalangan netizen. Cukuplah dengan apa yang sedang hadapi ini. Saya tidak mahu menambah beban fikiran dengan kontroversi dan publisiti sensasi,” katanya.
‘TAPAU’ SEMUA
Jika diamati, wajah teman wanita pelakon Dini Schatzmann ini menghiasi layar kaca rumah kita dengan barisan drama-drama yang sedang dan akan ditayangkan. Ternyata, dia menjadi pilihan utama produser tempatan.
“Tak merancang pun untuk semua drama ditayangkan serentak. Sekarang di TV3 ada Melastik Ke Hatimu. Mulai minggu depan, Marry Me Senorita pula di Astro Ria. Malah, di RTM juga saya bakal hadir dengan drama A.I In Love bersama Dini.
“Saya juga bakal tampil dalam sitcom komedi, Yolah!. Ini kali pertama saya beraksi dalam sitcom komedi. Satu pengalaman yang cukup berharga. Harapnya semua akan memberi sokongan terhadap drama-drama saya,” katanya.










