PETALING JAYA: PT Resources Holdings Berhad (PT Resources) mencatatkan kenaikan hasil sebanyak 32 peratus pada suku ketiga tahun kewangan 2023 berakhir 31 Januari lalu (S3 TK2023) kepada RM115.5 juta daripada RM87.4 juta suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagi suku dikaji, keuntungan kasar (GP) Syarikat meningkat 58.1 peratus kepada RM15.3 juta daripada RM9.6 juta pada S3 TK2022 manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) menurun 55.4 peratus kepada RM2.1 juta.
“Secara bersegmen, perniagaan pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut sejuk beku menyumbang pendapatan sebanyak RM108.8 juta dalam S3 TK2023 manakala perdagangan produk lain perniagaan menyumbang pendapatan sebanyak RM6.6 juta.
“Mengikut pasaran geografi, Malaysia menyumbang pendapatan sebanyak RM57.7 juta, manakala pasaran luar negara terdiri daripada China dan Arab Saudi menyumbang pendapatan sebanyak RM57.7 juta,” maklum syarikat itu dalam kenyataan.
Jelasnya lagi, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Januari 2023 (9B TK2023), pendapatan Syarikat meningkat 29.3 peratus kepada RM356.1 juta daripada RM275.4 juta pada 9M TK2022.
GP pula meningkat 35.6 peratus kepada RM42.3 juta daripada RM31.2 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya, manakala PBT meningkat 7.5 peratus kepada RM18.3 juta daripada RM17.0 juta.
“Bagi 9B TK2023, peningkatan 84.0 peratus dalam perbelanjaan pentadbiran kepada RM23.9 juta disebabkan oleh perbelanjaan penyenaraian sebanyak RM4.0 juta, kerugian yang tidak direalisasikan sebanyak RM4.6 juta daripada turun naik pertukaran asing dalam S3 TK2023 dan peningkatan kos kakitangan sebanyak RM1.3 juta,” tambahnya.
Mengulas pencapaian itu, Pengarah Urusan PT Resources, Heng Chang Hooi berkata, dalam jangka panjang, Syarikat optimis untuk tumbuh tetapi dalam jangka pendek, terdapat cabaran yang timbul daripada tekanan kos yang telah menjejaskan operasi secara langsung dan tidak langsung, manakala turun naik mata wang asing juga telah memberi kesan kepada keuntungan.
Kata beliau, Syarikat komited untuk mengembangkan pasaran di dalam negara melalui pengukuhan akses kepada rakan kongsi saluran dan membuka lebih banyak cawangan MO Foodmart TM di Malaysia, manakala di pasaran luar negara, merancang meningkatkan bekalan ke China.
“Prestasi kewangan Syarikat bagi suku ketiga itu disebabkan oleh peningkatan permintaan domestik dengan pembukaan semula ekonomi manakala peningkatan permintaan di luar negara adalah disebabkan oleh peningkatan pesanan daripada pelanggan sedia ada di China dengan jangkaan permintaan yang lebih tinggi untuk makanan laut sejuk beku berikutan kelonggaran peraturan kuarantin Covid-19,” katanya.
PT Resources dan anak syarikatnya terlibat terutama dalam pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut sejuk beku dan produk makanan lain.
Kemudahan pemprosesan makanan laut Kumpulan terletak berhampiran jeti pendaratan ikan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuantan, Pahang, yang merupakan antara lima jeti pendaratan ikan terbesar di Semenanjung Malaysia berdasarkan jumlah pendaratan ikan.
Kumpulan menjual produknya di Malaysia, China, Arab Saudi, Emiriah Arab Besatu (UAE) dan Filipina. Kumpulan mempunyai tujuh cawangan terletak di wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia di bawah nama dagangan
“MO Foodmart TM ” dan “MO Wholesale CentreTM” serta pasaran dalam talian, “MO Signature TM ”. – UTUSAN










