Hun Sen mampu selesaikan krisis di Myanmar – PM - Utusan Malaysia

Hun Sen mampu selesaikan krisis di Myanmar – PM

Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh untuk lawatan rasmi sehari ke Kemboja semalam. – Gambar Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemboja boleh menangani krisis kompleks di Myanmar bukan sahaja untuk penduduk negara itu tetapi Malaysia yang turut terkesan dengan limpahan pelarian Rohingya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakan sejawatnya, Hun Sen boleh meneruskan sumbangan idea memulihkan Myanmar kerana latar belakang pemimpin itu yang berpengalaman meng­uruskan soal pendamaian de­ngan secara kompleks.

“Perdana Menteri (Hun Sen) mempunyai kedudukan untuk menangani isu kompleks seperti Myanmar. Kami turut sentuh isu ini kerana ini bukan sahaja soal dalaman Myanmar, tetapi memberi kesan kepada Malaysia kerana lebih 200,000 pelarian terutamanya Rohingya.

“Saya berharap dapat sumbangan idea ketika Sidang ASEAN nanti iaitu mungkin satu kerangka komprehensif untuk menunjukkan kita memahami isu ini dan pada masa sama, pemimpin Junta Myanmar kena faham bahawa perkara ini tidak boleh diteruskan,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Hun Sen di Istana Keamanan, Phnom Penh semalam.

Terdahulu Anwar dan Hun Sen turut membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama termasuk untuk menero­ka peluang kerjasama baharu dan memperkukuhkan jalinan hubungan sedia ada.

Anwar dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pukul 9.05 pagi waktu tempatan di­sambut Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja.

Menurut Anwar, kedua-dua negara berharap dapat mempertingkatkan kerjasama dalam sektor pelaburan, industri halal, teknologi digital, pendidikan dan pertahanan bagi me­ngukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×