ALOR SETAR: Walaupun di atas kertas, seorang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) memperoleh RM1,146 sebulan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada majikan, hakikatnya gaji bersih mereka jauh lebih rendah daripada itu.
Ketika ini, seorang guru diberi elaun bulanan sebanyak RM1,000 sebelum kenaikan RM100 pada Belanjawan 2023 baru-baru ini. Di samping itu terdapat caruman KWSP berjumlah RM130 dan RM16.65 untuk Perkeso.
Bagaimanapun, setelah ditolak caruman bagi pihak pekerja berjumlah kira-kira RM260, pendapatan bersih mereka hanya sekitar RM885 sebulan yang jumlah itu perlu dibelanja sebaiknya bagi meneruskan kelangsungan hidup sehingga gaji seterusnya.
Keadaan sukar atau hidup di bawah paras kemiskinan itu memaksa guru-guru tersebut terutama guru lelaki yang sudah berkeluarga mengikat perut dan berjimat cermat agar isteri dan anak-anak mereka dapat hidup selesa.
Seorang guru KAFA yang enggan dikenali ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, gajinya yang lebih rendah daripada golongan yang melakukan pekerjaan e-hailing itu amat menyukarkan untuk dia hidup hanya bergantung kepada profesion sebagai guru agama di sekolah.
“Kami ini ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapa. Hendak suarakan isu elaun nanti dikatakan tidak bersyukur dengan apa yang ada sedangkan hakikatnya itulah situasi yang kami lalui ketika zaman kenaikan kos sara hidup ini.
“Benar ada kenaikan elaun berbanding awal-awal saya berkhidmat dahulu daripada RM700 naik kepada RM900, kemudian kini RM1,000 serta tambahan RM100 lagi seperti diumumkan dalam belanjawan baru-baru ini. Alhamdulillah kami memang bersyukur dengan rezeki itu.
“Cuma jika dibandingkan dengan sektor pekerjaan lain, kami yang berstatus kontrak ini agak sukar untuk hidup tetapi macam saya sendiri tidak hanya berkhidmat sebagai guru agama tetapi waktu senggang lain digunakan untuk membantu isteri berniaga kek di rumah untuk tambah pendapatan,” kata bapa dua anak itu.
Sementara itu, seorang pesara guru KAFA yang hanya mahu dikenali sebagai Arbaayah, 63, berkata, tidak seperti guru-guru di Kementerian Pendidikan yang menikmati wang pencen selepas menamatkan perkhidmatan, mereka pula masih perlu memikirkan cara untuk menyara hidup selepas itu.
“Lebih 20 tahun saya berkhidmat sebagai guru KAFA, apabila pencen kena pandai-pandai cari duit untuk kelangsungan hidup sebab mana ada elaun pencen.
“Ramai orang tidak tahu, nampak macam banyak pendapatan guru KAFA sebab mengajar di sekolah macam cikgu-cikgu lain tetapi hakikatnya setelah ditolak KWSP dan Perkeso tak sampai RM1,000 pun pendapatan kami,” luahnya.
Bagaimanapun, Arbaayah menasihati guru-guru KAFA yang masih berkhidmat untuk terus mencurahkan bakti dengan sepenuh hati bagi memastikan ilmu agama dapat dikongsikan bersama. – UTUSAN










