PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang mengesan pemilik kad pengenalan (Mykad) milik rakyat tempatan tetapi digunakan sindiket tertentu untuk ‘melepaskan’ 1,050 PATI warga Filipina ke negara ini.
Menurut sumber, kesemua individu berkenaan dipercayai tinggal di beberapa daerah di Sabah dan Semenanjung.
Jelasnya, kesemua pemilik Mykad berkenaan dipercayai bersubahat dengan sindiket-sindiket migran ini dengan bayaran RM200 hingga RM300 bagi digunakan warga asing terlibat dengan tujuan mendapatkan kemudahan dan ‘keistimewaan’ sama seperti rakyat negara ini.
“Menerusi Op Lancar, SPRM mengesan ada rakyat tempatan sanggup menjadi pengkhianat menjual Mykad mereka kepada sindiket-sindiket ini,” kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata, hanya satu sindiket yang dikesan SPRM berhubung kegiatan itu dan menimbulkan kebimbangan sekiranya jika ada sindiket lain melakukan kegiatan sama dan tidak dikesan.
“Tidak mustahil negara kita mudah ‘dibolosi’ sesiapa sahaja termasuk penjenayah yang telah disenarai hitam untuk masuk ke negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, kata sumber itu, menerusi Op Lancar sebanyak 27 individu termasuk lima individu telah ditahan kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan migran.
Kata sumber itu, tangkapan terbaru membabitkan 11 PATI dipercayai menggunakan Mykad rakyat tempatan dengan sembilan individu diberkas JPN di Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Dua lagi PATI ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tawau, Sabah. Menerusi operasi sama sebanyak tujuh pemilik Mykad turut ditahan di Semporna, Sabah,” jelasnya.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, betapa murahnya nilai integriti pegawai penguat kuasa sehingga boleh ‘dibeli’ dengan RM300 oleh sindiket penyeludupan migran.
Hasil siasatan SPRM mendapati, kesemua PATI itu dengan mudah mendapatkan ‘keistimewaan’ apabila mereka dibekalkan Mykad tulen milik warga tempatan sebelum melalui kaunter-kaunter khas yang dijaga oleh pegawai Imigresen terlibat sebelum dibenarkan menaiki pesawat komersial tanpa pemeriksaan.
Selain itu juga, boarding pass atau pas masuk pemilik asal Mykad yang digunakan juga akan di cop terlebih dahulu oleh pegawai Imigresen terlibat.
Sindiket berkenaan dipercayai memperoleh Mykad tulen itu dengan cara ‘meminjam’ daripada warga tempatan terdiri orang kampung, saudara mara dan kenalan rapat yang terdesak menggunakan wang.
Kemudian, mereka akan guna Mykad berkenaan untuk membuat pembelian tiket penerbangan pesawat sebelum mereka akan menyamar sebagai rakyat Malaysia ketika melalui pemeriksaan pihak berkuasa di lapangan terbang di Sabah.
Kesemua pegawai yang terdiri daripada kumpulan gred di bawah 22 itu akan ‘melepaskan’ PATI-PATI berkenaan meskipun wajah mereka langsung tidak sama dengan Mykad.
Bukan itu sahaja, kegiatan yang telah dijalankan sejak 2018 itu mendapati sindiket ini akan menggunakan Mykad sama untuk membawa PATI yang berbeza keluar dan masuk menerusi dua lapangan terbang itu dalam tempoh sebulan. – UTUSAN










