Malaysia tersekat dalam perangkap gaji perit - Utusan Malaysia

Malaysia tersekat dalam perangkap gaji perit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PURATA gaji bulanan di Amerika pada 1930-an adalah AS$1,800 yang dianggap sudah mewah ketika itu. Pelakon popular Hollywood ketika itu mendapat AS$1 juta sebulan. Itu kerana kira-kira 60 juta orang mengunjung panggung wayang setiap minggu.

Hari ini purata gaji bulanan ekonomi terbesar di dunia itu adalah AS$6,228 atau AS$74,734 setahun. Jika diambil gaji bulanan pekerja paling rendah sudah mendapat AS$1,070 seminggu.

Di Malaysia purata gaji tahunan adalah AS$18,799 (RM79,000) tetapi purata gaji minimum tahunan dianggarkan hanya RM19,815 (AS$4,735). Jika mengambil kira gaji minimum baharu RM1,500 ia hanya AS$340 sebulan berbanding AS$1,070 seminggu di Amerika Syarikat.

Kenaikan gaji minimum yang diumumkan kerajaan walaupun berniat murni hanya menguntungkan pekerja asing yang mencapai kira-kira dua juta, yang bermakna mereka mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM600 juta sebulan atau RM7.2 bilion setahun.

Masalahnya di Malaysia bukan mengenai gaji minimum tetapi isu perangkap pendapatan atau middle income trap.

Selepas lebih 60 tahun merdeka, seorang jurutera bukan syarikat ternama atau multi nasional hanya menerima gaji permulaan RM1,800. Di Malaysia gaji di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ditetapkan pada RM2,208 sebulan, Jadi, lulusan universiti kecuali mereka yang mendapat tempat di syarikat blue chips atau ternama adalah mereka yang miskin.

Masalah lebih besar ialah perangkap pendapatan pertengahan. Mengikut satu laporan pada tahun 2000, per kapita Keluaran Dalam Kasar adalah AS$6,393. Negara seperti Romania mencatatkan angka adalah AS$4,549 dan China hanya AS$2,194. Pada 2021, per kapita GDP Romania AS11,590 manakala China pula AS$11,188.

Malaysia pula berada pada AS$10,827.1 Ini bermakna ekonomi Malaysia se­perti kapal yang tidak bergerak di tengah laut sejak 2017. Mengikut data pihak lain, per kapita GDP Malaysia telah tidak bergerak sejak 2014.
Negara lain berubah dari negara yang bergantung kepada buruh murah kepada pelaburan bernilai tinggi tetapi Malaysia kekal dengan mantra lama. Ia juga bermakna taraf kehidupan sebahagian besar rakyat kekal sama.

Ekonomi yang lembab juga dilihat dalam pasaran saham. Berbanding tahun 1993 atau 1994, anda boleh membeli mana-mana saham, pasti meraih keuntungan. Hari ini pergerakan saham seperti taraf hidup rakyat.

Penilaian kebanyakan syarikat disenaraikan berdasarkan harga saham jauh lebih rendah berbanding aset sebenar.

Jadi, apa makna disenaraikan jika harganya tidak meningkat. Baru-baru ini Boustead Holdings diumumkan akan dibawa keluar dari penyenaraian oleh pemegang sahamnya. Tidak mustahil banyak lagi syarikat yang harga sahamnya tidak menggambarkan nilai aset sebenar akan keluar daripada Bursa Malaysia. Untuk pelabur, tiada insentif melabur di negara ini kerana pulangannya mendukacitakan.

Kerajaan Perpaduan berusia 100+ hari ini harus memberi perhatian kepada masalah middle income trap yang sudah membelenggu negara selama hampir satu dekad.

Anda boleh bercakap mengenai monopoli, kartel, konsesi dan pembaharuan. Semua itu tidak bermakna jika taraf hidup rakyat kekal sama. Anda mungkin menebang pokok tetapi akar tetap kekal di bawah.

 

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

×