UMNO hanya tinggal nama dan ahli - Utusan Malaysia

UMNO hanya tinggal nama dan ahli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“UMNO sekarang ini hanya tinggal nama dan ahli sahaja. Yang lain-lain semua sudah tidak ada, Sudah tidak macam dulu. UMNO sudah kembali kepada fitrah yang perlukan pemimpin yang benar-benar ikhlas untuk berjuang, mengembalikan martabat parti.”

Begitu luahan hati Pak Aziz, seorang veteran UMNO, yang masih setia menjadi ahli parti itu di salah sebuah cawangan di bahagian Padang Terap.

Katanya, satu ketika ramai berlumba-lumba untuk masuk dan jadi pemimpin UMNO kerana mahukan kekayaan dan kuasa.

Situasi sekarang katanya berbeza. Kuasa sudah terlepas dari tangan UMNO, jika ada sekali pun sekadar menumpang kepada kekuatan orang lain. Tanpa kuasa maka kekayaan juga hilang sekelip mata.

Kata Pak Aziz, walaupun hanya sebagai ahli biasa dan jawatan paling tinggi dipegang hanya sekadar ahli jawatan kuasa cawanganm namun dia kekal dengan UMNO kerana mengenangkan jasa parti itu kepada dirinya dan keluarga.

Kejayaan anak-anaknya hari ini termasuk seorang dua yang berpangkat besar kerana bantuan pemimpin dari parti itu.

“Walaupun ada anak-anak saya hari ini tidak lagi menyokong UMNO dengan alasan meluat dengan kerenah pemimpin, tetapi percayalah ramai lagi yang masih yang menyokong UMNO,” katanya yakin.

Menurut Pak Aziz, ini adalah ketikanya untuk UMNO kembali kepada fitrah. Iaitu kembali kepada saat awal ia ditubuhkan, Tanpa wang dan kuasa, Tetapi hanya perjuangan semata-mata. Perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Oleh itu dia berharap, para pemimpin yang dipilih untuk menerajui UMNO baru-baru ini, sama ada di peringkat atasan mahupun cawangan, mereka kena ikhlas memperjuangkan parti.

Katanya, mereka perlu ikhlas kepada ahli yang masih setia menyokong walaupun UMNO hanya tinggal nama, tanpa kuasa di peringkat negara.

Para pemimpin yang dipilih itu katanya perlu menggunakan sebaiknya nama UMNO dan ahli yang masih setia ini untuk merangka kebangkitan parti.

Namun kata Pak Aziz, untuk UMNO kembali seperti dahulu, iaitu sebuah parti yang kuat, menerajui Barisan Nasional (BN) hingga menang dua pertiga kawasan Parlimen agak mustahil untuk berlaku.

Tetapi yang penting katanya, UMNO perlu bangkit menjadi parti kepercayaan orang Melayu dan Islam di negara ini. Bangkit menjadi parti yang diyakini mampu memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara.

Pada usia hampir mencecah 80 tahun, kata Pak Aziz, dia sudah melihat segala-galanya dalam UMNO. Ada yang buruk, tetapi lebih banyak yang baik. Tetapi katanya, keburukan segelintir pemimpin itulah yang dijaja dan dijadikan senjata untuk menundukkan UMNO hingga hilang kuasa di peringkat nasional dan negeri.

Harapan Pak Aziz adalah pemimpin yang dipilih hari ini tidak memilih untuk menjatuhkan antara satu sama-sama lain.

Jika tidak katanya, nama yang ada, dan ahli yang masih berbaki ini akan hilang buat selamanya.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

 

 

×