MALAYSIA adalah antara negara yang menghimpunkan masyarakat pelbagai bangsa dan latar belakang. Negara kita sekian lama hidup dalam keadaan harmoni berteraskan prinsip agama serta Perlembagaan Persekutuan yang utuh.
Masyarakat Malaysia kaya dengan nilai murni serta adab pekerti yang membuatkan negara kita berbeza dan istimewa di mata dunia. Tambahan pula, kesopanan dan kesusilaan tinggi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum telah memupuk satu semangat kebersamaan yang jitu.
Namun, kebelakangan ini sedikit demi sedikit ancaman disuntik secara halus dalam masyarakat kita yang jika tidak dibendung boleh menjadi barah terhadap perpaduan kaum. Sebagai contoh, sentimen-sentimen yang mengganggu gugat Islam dilihat semakin menjalar dalam masyarakat dan semakin membimbangkan.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan munculnya sebuah filem indie yang membawa mesej bertentangan dengan akidah Islam dan boleh menyesatkan fahaman agama seseorang individu. Kita khuatir golongan muda yang masih dalam proses mencari erti sebenar kehidupan akan lebih mudah terpengaruh kepada pemesongan akidah.
Tambahan pula, keadaan akan menjadi lebih parah apabila asas nilai agama itu sendiri gagal dipupuk dalam diri mereka sejak awal lagi.
Selain itu, terdapat satu program dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah sebuah agensi kerajaan yang menggalakkan ziarah orang bukan Kristian ke gereja. Ramai mengatakan program sebegini adalah satu ancaman halus terutama sekali buat orang Islam dengan menggunakan tiket bagi memupuk sebuah masyarakat majmuk.
Suka saya ingatkan di sini, cubaan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang Islam supaya mengubah kepercayaan sudah pun dijadikan kesalahan di sisi Perlembagaan Persekutuan. Islam ialah agama yang eksklusif, inklusif dan merupakan agama yang benar. Islam mengikut sejarah sudah lama diiktiraf sebagai agama Persekutuan di Malaysia sejak Suruhanjaya Reid lagi.
Namun, kita tidak menghalang agama lain untuk diamalkan dalam suasana aman dan damai. Hakim dalam kes Meor Atiqulrahman bin Ishak & Ors lwn.Fatimah bte Sihi & Ors, telah mengatakan bahawa “……Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini seperti Kristian, Buddha, Hindu dan selainnya. Islam bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak.
“Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati – tinggi, teguh dan terampil. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan tetapi adalah salah satu di antara beberapa agama yang dianuti di negara ini dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan agama yang dianuti, tiada lebih satu dan yang lain.”
ZIARAH
Kita sudah bertoleransi dalam banyak hal, namun isu agama yang menjadi tunjang keharmonian sesebuah masyarakat ini tidak boleh dipandang remeh. Golongan yang mengatakan isu agama ini remeh dan kononnya majoriti Muslim bersifat tidak terbuka dengan kempen Jom Ziarah Gereja perlu mendalami dengan lebih maksud sebenar beragama di sisi syariah mahupun perundangan di Malaysia.
Memang tidak dapat dinafikan Islam merupakan sebuah agama yang menyenangkan serta sebuah agama mudah, namun jangan kita ambil mudah terhadapnya. Itu adalah dua perkara yang berbeza dan perlu difahami dengan teliti.
Tambahan pula, figura yang mempunyai kedudukan serta pengaruh tinggi dalam masyarakat perlu cakna dan faham asas agama serta Perlembagaan Persekutuan yang sebenar. Jangan menjadi tin kosong yang bunyinya sahaja kuat namun tidak punya sebarang isi.
Apabila kita menjadi tontonan masyarakat, seharusnya setiap butir patah perkataan yang dikeluarkan perlulah mempunyai asas serta rujukan kuat, bukannya bertindak melulu mengeluarkan kenyataan yang boleh memesongkan lagi akidah masyarakat.
Dalam usaha menangkis anasir buruk serta meningkatkan memartabatkan agama Islam, saya memuji usaha kerajaan kerana telah berusaha untuk menambah naik taraf syiar Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2023 memaklumkan kenaikan elaun bagi 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100 kepada RM1,000 dengan peruntukan tambahan. Sumbangan khas turut diberikan sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir. Seramai 70,000 orang akan menerima sumbangan ini melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.
Seperti diketahui umum, jumlah pembinaan sekolah KAFA jika dibandingkan dengan jumlah purata penduduk setempat adalah masih tidak mencukupi. Diharapkan dengan peruntukan tersebut akan lebih memberi impak positif dalam pembangunan kerohanian masyarakat.
Selanjutnya, usaha kerajaan perlu juga bergerak seiring dengan perkembangan positif daripada masyarakat. Jika ditanya apakah matlamat saya dalam melibatkan diri dengan menyertai NGO, saya boleh katakan dengan penuh keyakinan bahawa jika tiada masyarakat muda seperti saya yang akan bangkit bila agama Islam ditindas, maka tiada siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk menegakkan kebenaran sekali gus menafikan kebatilan yang semakin bermaharajalela.
Jika masyarakat madani yang kita impikan, seharusnya setiap pihak perlu lebih bersifat terbuka menerima teguran bagi menambah baik sistem sedia ada serta memartabatkan Perlembagaan Persekutuan. Masyarakat kita perlu memanfaatkan kebebasan bersuara yang diberi dengan menggunakan akal dan bukannya mengikut emosi semata-mata.
Akhir kata, bangkitlah dengan kebenaran biarpun perit kerana kebenaran itu merupakan satu kemenangan yang hakiki. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-Undang, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).











