KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji dan mendengar cadangan-cadangan berhubung keperluan mengubah kurikulum pendidikan di negara ini bagi membolehkan pelajar orang kelainan upaya (OKU) seperti anak-anak Sindrom Down juga mampu belajar dan berdaya saing selepas tamat sesi persekolahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mendengar pandangan-pandangan yang diutarakan dan pada masa sama berbincang dengan semua pihak.
Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi memastikan sistem pendidikan negara memenuhi setiap aspek yang diperlukan bagi setiap pelajar mahupun mengikut keadaan semasa negara.
“Dari semasa ke semasa kementerian akan buat sesi libat urus untuk memastikan kurikulum pendidikan setara dengan keperluan kanak-kanak dan semasa.
“Ia juga bagi mengambil kira kitaran ansur maju pelajar-pelajar di semua sekolah di negara ini.
“Maknanya, soal mengubah atau meminda kurikulum ini, ia ada kepakarannya yang ada di kementerian. Saya fikir penting untuk saya kongsikan bahawa sesi libat urus akan sentiasa dijalankan untuk pastikan input-input kita dapat dari semua pemegang taruh,” kata beliau selepas majlis Penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah Yayasan Petronas 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (Lelaki), Jalan Raja Laut di sini semalam.
KANAK_KANAK
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 40,000 kanak-kanak Sindrom Down di negara ini tidak mendapat pendidikan khusus menyebabkan ramai dalam kalangan anak istimewa itu mengalami kemurungan.
Malah, senario sama turut dialami sekian lama oleh golongan ibu bapa dalam usaha mendapatkan sistem pembelajaran yang bersesuaian dengan kemampuan golongan Sindrom Down mahupun OKU lain.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, program diadakan hasil kerjasama Yayasan Petronas bersama Yayasan Didik Negara itu harus terus didukung dan dijadikan sebagai ekosistem yang penting dalam sistem pendidikan negara.
“Kita sangat raikan sokongan dan dukungan seperti ini khususnya daripada korporat yang sentiasa mendukung program-program berkait rapat dengan bantuan-bantuan untuk ke sekolah.
“Hari ini kita barangkali menggembirakan satu segmen iaitu anak-anak murid kita khususnya yang berkeperluan khas. Kita ingin pastikan tiada anak-anak terpinggir daripada mendapat sokongan dan bantuan,” katanya.
Melalui program tersebut, Yayasan Petronas menyumbang pakaian seragam dan peralatan sekolah kepada 21,000 murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.- UTUSAN











