PETALING JAYA: EcoWorld International Berhad (EcoWorld International) mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM30.36 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2023 (TK2023) berbanding RM12.74 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
EcoWorld International dalam satu kenyataan berkata, ia ekoran kerugian pertukaran asing akibat kelemahan pound sterling berbanding ringgit sebanyak RM25.97 juta dalam tempoh suku semasa.
Bagaimanapun, EcoWorld International berkata, Kumpulan itu berjaya mencapai jualan sebanyak RM335 juta termasuk rizab RM189 juta menjadikannya berjumlah RM524 juta bagi tempoh empat bulan pertama TK2023.
Katanya, ia meletakkan Kumpulan di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran jualan tahun penuh sebanyak RM1.4 bilion di samping memberi tumpuan terhadap penjualan stok siap yang telah membolehkan aliran tunai yang ketara dijana.
“Dalam tempoh tiga bulan sahaja, kedudukan tunai bersih EcoWorld International telah melonjak sebanyak 159 peratus kepada RM446.2 juta pada 31 Januari 2023 berbanding RM172.5 juta pada 31 Oktober 2022.
“Tunai bersih Kumpulan dijangka terus kukuh pada suku-suku mendatang memandangkan dana dari usaha samanya di United Kingdom (UK) akan mendapat pulangan,” katanya.
Tambahnya lagi, hasrat Lembaga Pengarah untuk mengagihkan anggaran lebihan tunai RM900 juta kepada pemegang saham dalam bahagian akhir tahun 2023 sedang berjalan seperti yang dirancang dan tertakluk kepada pencapaian sasaran jualan dan kelulusan kawal selia berkaitan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International, Datuk Teow Leong Seng berkata, Kumpulan sedang memberi tumpuan untuk mencapai sasaran penjualan stok siap dengan mempercepatkan penjanaan tunai.
Katanya, jualan kekal stabil dalam empat bulan pertama TK2023 dengan Embassy Gardens menyumbang RM125 juta, diikuti Wardian, London City Island dan Oxbow masing-masing membawa masuk RM67 juta, RM63 juta dan RM33 juta
““Walaupun pembeli rumah menjadi lebih berhati-hati berikutan kenaikan kadar faedah, kekurangan rumah terus memberi sokongan kepada permintaan perumahan.
“Kami merancang menawarkan pakej insentif yang menarik kepada pembeli dan memanfaatkan permintaan luar negara melalui acara pemasaran antarabangsa agar dapat menjana aliran tunai tambahan untuk suku-suku mendatang,” katanya. – UTUSAN










