Ternakan ikan patin sangkar kritikal

Ternakan ikan patin sangkar kritikal

PENGUSAHA ikan patin sangkar, Fazirul Mohd. Aspa menunjukkan sangkar ikan yang kosong dan terpaksa diangkat di Kampung Jerantut Feri di Jerantut, Pahang - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Bekalan ikan patin sangkar yang berkurangan hampir 80 peratus dan berdepan krisis kritikal ketika ini boleh menyebabkan harganya melambung RM30 sekilogram terutama pada Ramadan ini.

Ketika ini, harga patin sangkar sudah mencecah antara RM22 ke RM24 sekilogram berbanding RM18 ke RM20 sebelum ini.

Tiga faktor utama mempengaruhi kekurangan bekalan sumber protein tersebut ialah harga makanan ikan mahal, kekurangan benih dan kadar kematian tinggi sehingga lebih 70 peratus setiap satu sangkar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Disebabkan krisis yang berlaku, bekalan ikan patin sangkar dijangka hanya mampu bertahan sehingga dua minggu Ramadan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan pengusaha makanan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha dan peruncit ikan sangkar Kampung Jerantut Feri, Azman Zainuddin, 52, berkata, daripada 37 pengusaha ikan sangkar di kampung itu, hanya lapan orang aktif membabitkan lebih 200 sangkar.

“Pengusaha lain membabitkan lebih 600 sangkar sudah pun mengangkat sangkar gus hilang punca pendapatan. Saya lihat punca utama adalah makanan ikan yang terlalu mahal daripada RM60 sebelum ini, kini RM84 satu beg 20 kilogram.

“Seorang pengusaha biasanya ada dalam 25 sangkar seorang. Satu sangkar 100 beg makanan. Ini yang jadi masalah sangkar terangkat sebab harga makanan mahal, hendak tambah sangkar memang tak mampu.

“Kehidupan kami kini ibarat telur di hujung tanduk. Di Temerloh saya difahamkan, ada pengusaha yang terpaksa menjual sangkar kerana sudah tidak mampu lagi kerana terpaksa menanggung kerugian,” katanya di sini semalam.

Azman berkata, isu kedua kekurangan benih ikan yang lebih setahun berlarutan dan paling ketara dalam tempoh enam bulan lalu.

“Di Jerantut sahaja, kita mengalami kekurangan benih lebih satu juta ekor untuk tempoh satu pusingan iaitu enam bulan. Saya sendiri buat tempahan dari Disember tahun lalu, sampai sekarang belum dapat benih ikan patin.

“Benih pun sudah naik harga, sebelum ini untuk saiz tiga inci ke empat inci hanya 25 sen seekor, kini berharga 35 sen hingga 45 sen. Satu sangkar kita biasa masukkan antara 2,000 ke 3,000 ekor benih ikan,” katanya.

Berhubung isu kadar kematian ikan dalam sangkar, katanya, daripada 3,000 ekor benih ikan dilepaskan, peratusan hidup hanya membabitkan 800 ekor.

“Kalau ikut pengalaman ia berpunca disebabkan faktor cuaca dan kadar kekeruhan air. Kami rayu agensi terlibat khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat persampelan apa yang ada di dinding sangkar ikan terutama lumut. Kita ingin tahu apa punca utama ikan mati,” katanya.

Dalam pada itu, dia berharap kerajaan membuat kawalan harga atau memberikan subsidi pada kadar RM20 satu beg bagi makanan ikan.

“Kalau makanan ayam kerajaan boleh memberikan subsidi, kenapa tidak makanan ikan sangkar. Kami juga penyumbang kepada sumber makanan negara.

“Kedua, kami difahamkan, Jabatan Perikanan ada menghasilkan benih ikan, tetapi ke mana hala tujunya? Peruntukan benih ikan daripada kerajaan kepada kami sangat kritikal antara 2,000 ke 5,000. Ia langsung tidak mendatangkan hasil,” katanya.

Sementara itu, penternak ikan patin, MZ Agriculture di Kampung Pangsenam di Temerloh dekat sini, Mohd. Zahran Ishak berkata, bekalan ikan patin sangkar di daerah itu terutama di kampung tersebut ketika ini boleh dikatakan sudah tiada.

“Bukan kurang, tapi sudah tak ada ikan patin. Banyak kedai-kedai sudah tutup perniagaan kerana tiada ikan. Bulan Ramadan ini memang tiada ikan patin sangkar di kampung ini.

“Isu utama sebab tiada benih yang sudah berlarutan lebih setahun. Buat tempahan 20,000 ekor, yang sampai hanya 2,000 ekor. Itupun tidak semua yang hidup, hanya 10 peratus.

“Selain faktor benih, isu di daerah ini membabitkan kualiti air yang menyebabkan ikan banyak mati. Tidak tahu apa puncanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN