Syarikat Korea minat melabur industri hidrogen di Sarawak

Syarikat Korea minat melabur industri hidrogen di Sarawak

DARI kanan: Sulaiman, Chin Tong, Presiden Persatuan Tenaga Hidrogen Malaysia (MAHE), Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud dan Arham Abdul Rahman pada majlis perasmian Seminar Ekonomi Hidrogen di Menara MIDA, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga buah syarikat Korea Selatan menyatakan minat untuk melabur, mendirikan infrastruktur dan menghasilkan hidrogen di Sarawak bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, hasrat kesemua syarikat itu dimaklumkan semasa lawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Korea Selatan pada 14 hingga 17 Mac lalu.

Menurut Arham, dalam  lawatan berkenaan MITI berjaya menjana potensi pelaburan mencecah nilai RM24 bilion dan sebahagiannya merupakan pelaburan ekonomi hidrogen di Sarawak.

“Ada dua hingga tiga syarikat konsortium Korea Selatan yang bekerjasama menyatakan hasrat untuk melabur di Malaysia di Sarawak bagi membangunkan infrastruktur termasuk menghasilkan hidrogen.

“Tetapi saya tidak boleh dedahkan syarikat mana dan bila ia akan berlaku, cuma yang pasti mereka dalam proses membuat keputusan akhir pelaburan,” katanya pada sidang media Seminar Ekonomi Hidrogen di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,  Liew Chin Tong dan Pengerusi MIDA, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Tambah beliau, beberapa negara seperti Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) turut menunjukkan minta untuk melabur dalam industri hidrogen di Sarawak selepas negeri itu memulakan inisiatif berkenaan.

Mengulas lanjut Arham berkata, Malaysia perlu kehadapan daripada negara-negara jiran di dalam industri tenaga baharu terutamanya industri hidrogen.

“Kita mahu mendahului negara jiran, oleh itu ekonomi hidrogen serta jenis tenaga hijau lain akan menjadi pemacu kepada ekonomi kita melalui perkongsi pendapatan daripada pelaburan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, misi perdagangan dan pelaburan MITI ke Korea Selatan baru-baru ini berjaya menjana potensi pelaburan yang mencecah nilai RM24 bilion selain eksport produk dan perkhidmatan bernilai RM4.24 bilion.

Menurut MITI, projek pelaburan baharu yang dibincangkan dalam misi itu melibatkan pihak seperti Samsung Engineering, SKC, Lotte Fine Chemicals, Hyundai, COWAY dan konsortium syarikat Korea. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×