SHAH ALAM: Cadangan Pemuda Pas Selangor untuk melantik Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi sebagai Menteri Besar menunjukkan ramai pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) layak mentadbir negeri ini.
Malah, cadangan tersebut juga tidak akan menimbulkan polemik dalam kalangan komponen PN terutamanya Bersatu apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan Selangor akan ditadbir oleh partinya sementara Pas terus mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, mana-mana parti komponen boleh mencadangkan calon dan beliau yakin rakyat Selangor menantikan anak jati negeri ini untuk diangkat menjadi Menteri Besar.
“Antaranya yang saya kira anak jati Selangor, lama berkhidmat dalam Pas Selangor, pernah jadi Exco kanan dalam kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) ialah Ahmad Yunus.
“Sebab sebelum ini, Menteri Besar sekarang (Datuk Seri Amirudin Shari) dari Johor, begitu juga dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, maknanya rakyat juga menantikan anak Selangor menjadi pemimpin mereka di peringkat negeri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau turut menjelaskan, bagaimanapun keputusan terletak di tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila PN mempunyai majoriti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, namun kini fokusnya adalah memastikan parti menang dahulu.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan cadangan dikemukakan Mohamed Sukri dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas Selangor kelmarin akan menimbulkan polemik apabila disebut Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari; Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin dan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin sebagai calon Menteri Besar.
Bagaimanapun, nama-nama tersebut dinafikan Abdul Rashid yang menyatakan tanggungjawab diberi oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk memperkuatkan parti bagi berdepan PRN nanti.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri memaklumkan penentuan kerusi daripada Pas dan PN belum dimuktamadkan lagi, namun masih diteruskan dalam rundingan dan dalam masa sama partinya meletakkan beberapa kawasan untuk ditandingi dalam PRN nanti.
“Tetapi, kita melihat kerusi bersifat incumbent, akan kekal kepada parti. Kerusi yang lain akan dilihat bersama Bersatu.
“Pas dengan Bersatu, sama kerusi sasaran kita, majoriti pengundi Melayu sudah pasti dan menjadi keutamaan. Kemenangan kerusi Pas dalam pilihan raya terdahulu juga diambil kira,” jelasnya.
Tambahnya, Pemuda Pas Selangor menyasarkan 30 peratus calon terdiri daripada kalangan orang muda disasarkan dalam PRN serta jumlah sama dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jika PN berjaya membentuk kerajaan negeri. – UTUSAN










