Pada awal pembabitannya dalam industri kraftangan, Asni Othman, 45, mendakwa dia pernah diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang tidak yakin dengan kemampuan kertas atau surat khabar lama untuk dijadikan bahan utama dalam penghasilan sesuatu produk kraf yang bermutu tinggi.
Bagaimanapun, anak kelahiran Bukit Mertajam., Pulau Pinang ini tidak pernah ‘ambil pusing’ akan sebarang pandangan negatif yang dilemparkan. Sebaliknya, kekal memberi fokus terhadap kerja-kerja yang dilakukannya ketika itu.
Berkat kesabarannya, Asni kini boleh dianggap sebagai antara usahawan produk kraf daripada kertas yang telah berjaya menempa nama khususnya di Pulau Pinang ketika ini.
Selain menghasilkan bakul serta pasu bunga yang diperbuat daripada kertas dalam pelbagai saiz dan bentuk, wanita itu juga gigih serta kreatif dalam mereka bentuk kotak simpanan barang, lampu tidur, rantai kunci serta bermacam-macam produk lagi di bawah jenama Asni Craft.
“Alhamdulillah, walaupun berdepan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) buat kali kedua, permintaan terhadap produk kraf saya masih ada dan hasil jualan setakat ini juga tidak begitu mengecewakan.
“Cuma, kekangan dari segi promosi kerana semasa PKP, saya tidak boleh bebas menyertai mana-mana ekspo atau pameran seperti sebelum ini. Sebaliknya hanya bergantung harap kepada kaedah promosi secara dalam talian sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mula melibatkan diri secara serius dalam kerja-kerja kraf sejak 17 tahun lalu, ibu kepada tiga orang anak ini turut menjual kuih-muih seperti putu kacang dan agar-agar kering secara sampingan terutamanya jika mempunyai kelapangan untuk mengambil tempahan.
Dalam masa yang sama, Asni yang juga pemegang Sijil Pertanian dalam Kursus Teknologi Penghasilan Hasil Pertanian itu turut menghasilkan pokok hiasan mini atau pokok kristal yang diperbuat daripada manik dan akrilik, bantal berbentuk bunga ros, daun getah sebagai penanda buku serta yang terbaharu, kraf berasaskan tempurung dan biji getah.
Asni yang turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) negeri itu memberitahu, tempoh masa yang diambil untuk menyiapkan satu-satu produk itu pula biasanya bergantung kepada saiz, tahap kesukaran serta kuantiti tempahan produk berkenaan.
Katanya, sebagai contoh, bakul kertas bersaiz bekas telur mampu disiapkan sehingga 50 buah sehari manakala bakul atau pasu bersaiz mega iaitu sebesar tempayan pula biasanya akan mengambil masa sehari suntuk untuk disiapkan.
“Sebenarnya, untuk produk kraf berasaskan kertas terutamanya bakul-bakul kertas ini, ia melibatkan tiga kerja yang berbeza iaitu menggulung, menganyam serta mengecat.
“Namun, saya beruntung kerana suami banyak membantu terutamanya dalam kerja-kerja mengecat manakala kerja-kerja menggulung kertas pula dilakukan oleh dua pekerja sambilan” ujarnya yang memberitahu, hampir kesemua produknya juga dijual pada harga yang sangat berpatutan iaitu bermula pada RM2.

Dalam pada itu, Asni berkata, sehingga kini, dia mempunyai pelanggan dari segenap pelosok negeri termasuk seorang pelanggan tetap di Johor sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, selain itu, ada juga pelancong asing yang berminat dengan rekaan krafnya, namun, mereka hanya membeli rekaan bersaiz mini disebabkan kesukaran untuk membawa pulang produk tersebut ke tempat mereka.
“Ketika ini, saya hanya aktif menjalinkan kerjasama dengan MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) iaitu untuk membekalkan produk-produk kraf saya terutamanya bakul kertas sebagai cenderamata kepada mereka.
“Pada masa yang sama, saya juga ada mengajar untuk kelas pembuatan kraf secara sambilan jika diperlukan,” katanya yang pernah menerima tempahan projek sehingga bernilai RM20,000 setahun sebelum ini.
IMPIAN BELUM TERCAPAI
Meskipun tidak mewarisi kemahiran seni itu daripada sesiapa, Asni tetap tidak mahu kemahiran yang dimilikinya ketika ini berkubur begitu sahaja memandangkan tiada seorang pun daripada anak-anak yang berminat untuk menceburi bidang itu secara serius.
“Sayanglah kalau ilmu yang ada pada saya ini tidak diwariskan kepada sesiapa.
“Tapi, kalau boleh dan selagi termampu, saya akan terus hasilkan juga seberapa banyak produk kraf berdasarkan kreativiti yang saya ada,” ujar Asni.
Selain mahukan pewaris untuk meneruskan legasi perusahaannya, wanita itu juga mengimpikan untuk memiliki sebuah bengkel khas berhampiran rumahnya yang turut mahu dijadikannya sebagai sebuah galeri untuk mempamerkan hasil karya seninya itu.
“Banyak sebenarnya impian saya. Tapi, satu-persatulah. Bukan apa, takut tak tercapai kalau sekali gus,” katanya berseloroh.

Seperti usahawan atau peniaga lain yang ingin terus maju ke depan dalam mengembangkan sayap perniagaan masing-masing, Asni juga tidak terkecuali.
Dia tetap menyimpan harapan untuk membawa atau mengeksport produknya ke luar negara dalam tempoh beberapa tahun lagi apabila jenama Asni Craft semakin kukuh di pasaran tempatan.
“Apapun, saya dinasihatkan supaya mempatenkan terlebih dahulu produk saya sekiranya berhasrat untuk membawanya ke luar negara dan ini pastinya akan mengambil masa juga,” ujarny










