Berpanas terik, mengangkat beban bahan pembinaan dan adakala perlu memanjat binaan tinggi.
Tidak ramai wanita yang mampu melakukan perkara tersebut. Apatah lagi untuk dijadikan sebagai kerjaya.
Namun tidak kepada ibu tiga cahaya mata, Aina Mardhiah Ferdaus, 32.
Beliau menyifatkan cabaran dihadapi dalam industri pembinaan rumah sebagai sesuatu yang sudah sebati dengan dirinya.
Sementelah sejak kecil lagi sudah mengikut arwah bapa, Ferdaus Adnan melakukan kerja pembinaan rumah.
Jadi, katanya untuk terlibat sama memantau dan membina projek rumah, bukanlah satu cabaran besar buat dirinya.
“Bila terima projek bina rumah dan mereka tahu kontraktornya adalah perempuan, mereka terkejut. Ada yang mempersoalkan kemampuan saya menyelesaikan projek diberikan itu.
“Namun saya buktikan saya boleh menguruskannya. Memantau perkembangan projek terutamanya bagi peringkat penting pembinaan struktur rumah membabitkan pembinaan asas konkrit, ‘stump; konkrit sehinggalah ke proses penghabisannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (Kepujian), Universiti Selangor (Unisel) ini memulakan langkah menubuhkan syarikat kontraktor binaan, A&Z Cahaya Enterprise sejak sembilan tahun lalu.
Syarikat itu dijenamakan semula dengan A&Z Cahaya Venture tahun lepas dengan penglibatan rakan kongsinya, Hanani Mohamed, 27. Ia bagi menguruskan kerja pengurusan serta dokumentasi yang diharap dapat membawa nama syarikat ke peringkat lebih baik lagi.
Wanita berasal dari Johor Baharu ini memberitahu, beliau dan pekerjanya mampu menyiapkan sebuah rumah baharu dalam tempoh masa dua ke tiga bulan bergantung kepada keadaan cuaca serta saiz rumah.
KUALITI
Mengenai kualiti ditawarkan dalam setiap pembuatan rumah, beliau memberitahu, amat mementingkan aspek itu dalam setiap produk dihasilkan.
Justeru katanya, sekiranya sudah memperoleh dua kerja pembinaan rumah dalam setahun, selebihnya beliau akan memberikan fokus kepada projek kecil pula.
Antaranya, pengubahsuaian rumah, kerja pendawaian dan membaiki pendingin hawa.
Sepanjang tahun lalu katanya, selain membina dua rumah baharu di Sikamat dan Sendayan, beliau turut diberi tanggungjawab melaksanakan kerja pengubahsuaian reka bentuk dalaman lebih 10 rumah di sebuah taman perumahan di Seremban.

PANDEMIK
Pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara turut memberi tempias kepada A&Z Cahaya Enterprise apabila beberapa kerja pembinaan dijalankan terpaksa dihentikan seketika terutama pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau lebih suka menganggap pendemik sebagai satu peluang untuk dirinya mempelbagaikan cabang perniagaan yang dibantu 14 pekerja itu.
“Seramai lima pekerja saya berikan tanggungjawab melakukan sistem pendawaian elektrik dan pendinginan udara manakala sembilan lagi bertanggungjawab dalam urusan bina baharu rumah dan ubah suai kediaman,” katanya.
Ini berikutan kerja-kerja pembinaan hanya boleh disambung pada Julai. Sepanjang tempoh berkenaan, Aina Mardhiah tampil dengan idea baharu iaitu menghasilkan produk sanitasi menggunakan bahan organik.
Menurut Aina Mardhiah, idea berkenaan mampu menjana keuntungan tambahan. Di mana syarikat turut menawarkan khidmat sanitasi dalam setiap projek diterimanya.
KERJA MENCABAR
“Memang kerja saya lakukan ini sangat mencabar. Namun sudah menjadi cita-cita saya sejak daripada kecil untuk bergelar sebagai seorang kontraktor,” katanya memberi reaksi berhubung pekerjaan dilakukan ketika ini.
Wanita bertubuh kecil ini pada peringkat pengajian diploma mengambil jurusan kejuruteraan perisian namun mengubah haluan semasa di peringkat ijazah dengan mengambil jurusan kejuruteraan awam.
“Saya bertuah memilih keluarga yang sering memberikan galakan dan sokongan penuh terhadap minat saya ini.
“Bagi saya sekiranya kita sudah meminati sesuatu kerjaya itu, tidak kiralah sama ada perempuan atau lelaki kita harus melakukannya sebaik mungkin,” katanya.










