Siasat parti lain termasuk UMNO - Wan Ahmad Fayhsal

Siasat parti lain termasuk UMNO – Wan Ahmad Fayhsal

Parti
WAN Ahmad Fahysal (tengah) bergambar bersama para penyokong Muhyiddin Yassin hadir bagi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu yang berdepan pertuduhan dekat Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti politik lain seharusnya disiasat sekiranya aktiviti pendanaan politik dianggap salah, boleh disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dituduh di mahkamah.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, parti politik juga menerima sumbangan daripada pihak lain sebagai dana politik mereka selain partinya sendiri, justeru perlu ada siasatan dalam aspek tersebut oleh agensi penguat kuasa berkenaan.

“Selain Bersatu, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga memberi sumbangan politik kepada UMNO dan beberapa parti politik.

“Malah akaun bank Bersatu diaudit oleh firma audit dan kami (Bersatu) mendedahkan penyata akaun tersebut kepada umum.  Jadi, kami tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan kepada orang awam,” katanya ditemui pemberita ketika hadir di mahkamah bagi menyaksikan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai keberanian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersedia disiasat berhubung dana politik parti berkenaan dan meminta SPRM menyiasatnya.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, SPRM perlu menyiasat punca dana UMNO untuk membiayai kempen parti itu ketika berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

“Bersatu disiasat disebabkan dana politik, jadi harap SPRM pun dapat siasat UMNO juga. Bersatu telus dan mengikuti  segala aturan pergerakan politik yang ditetapkan oleh ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan),” tegasnya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan bahawa Ahmad Zahid menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh SPRM, setelah Muhyiddin mencabar dirinya sama ada beliau berani disiasat atau tidak oleh agensi berkuasa itu.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah disiasat oleh beberapa pihak berkuasa, justeru tidak gentar disiasat bagi perkara tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×