SUNGAI PETANI: Dua beradik berketurunan Rohingya ditemukan lemas selepas mereka dipercayai bermain di sebuah lombong berdekatan rumah di Kampung Permatang Kedundung, Pinang Tunggal di Tikam Batu, petang semalam.
Kejadian mengorbankan Mamod Shukur Belal Hussain, 4, dan abangnya, Md. Nasim, 6, disedari ibu tiri mereka, Saberah Ayob, 22, setelah dua beradik itu tidak pulang ke rumah selepas waktu Maghrib.
Bapa saudara kepada dua beradik itu, Iman Nazumia, 26, berkata, kakak iparnya mencari kedua-dua mangsa di serata tempat sebelum menemukan pakaian dan selipar mereka di tebing lombong.
“Rumah mereka tidak jauh daripada lombong terbabit dan ketika kejadian bapa mereka yang juga abang saya tiada di rumah kerana bekerja sebagai tukang rumah di luar daerah.
“Isterinya segera membuat laporan di balai polis kerana bimbang sesuatu terhadap anak-anaknya sebelum mayat kedua-dua mereka ditemukan lemas di lombong terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Terdahulu, mayat Mamod Shukur ditemukan terapung pada pukul 8.50 pagi ini oleh penduduk sebelum memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat sejak malam tadi.
Mangsa ditemukan kira-kira 400 meter daripada tempat mereka dipercayai mandi dan bermain sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mayat kanak-kanak kedua ditemukan pada pukul 2.45 petang ini di dasar lombong terbabit kira-kira tiga meter daripada tempat mereka dipercayai terjatuh.
Katanya, polis menerima laporan kejadian tersebut malam tadi sebelum menggerakan operasi mencari dan menyelamat bersama JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di lokasi terbabit.
Difahamkan, keluarga dua beradik itu telah lama memasuki negara ini menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). – UTUSAN











