Ibu mangsa rentung kemalangan rasa seperti mimpi

Ibu mangsa rentung kemalangan rasa seperti mimpi

FAREEZ Hakimi Zulkifli (kiri) dan Muhammad Amirul Ahmad Sabri meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kilometer 108.8 Lebuhraya Pantai Timur, dekat Kampung Cempaka di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Rasa seperti mimpi. Itulah digambarkan oleh Yan­ti Mahadar, 44, ibu kepada Muhammad Amirul Ahmad Sabri, 24, salah seorang mang­sa yang maut rentung dalam ke­malangan di Kilometer 108.8 Le­buhraya Pantai Timur, dekat Kam­pung Cempaka di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yanti berkata, Muhammad Amirul sudah berjanji untuk pulang pada malam hari yang sama, namun tidak menyangka anaknya itu terlibat dalam kemalangan.

“Dia sudah janji dengan saya. Tapi, lain pula jadinya. Saya memang tak sangka ini yang terjadi kepadanya. Tapi, saya rasa macam mimpi. Betul ke apa yang berlaku. Saya sebenarnya harap ia hanya mimpi tapi ke­nyataan yang perlu saya hadapi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Yanti, kali terakhir dia berbual dengan Muhammad Amirul pada Sabtu pagi sebelum anaknya itu ke Kuala Lumpur bersama rakan baiknya, Fareez Hakimi Zulkifli, 25, yang turut meninggal dunia dalam kejadian itu.

“Saya selalu berseloroh de­ngan dia. Bila nak keluar berdua dengan ibu, asyik dengan Mimi (Fareez Hakimi) sahaja. Dia beritahu, tunggu dia cuti baru boleh keluar berdua,” ujarnya.

Bapa Muhamad Amirul, Ahmad Sabri Abd. Rahman, 52, pula berkata, dia menerima panggilan tentang kejadian me­nimpa anaknya selepas membeli barangan di Pekan Sehari Temerloh.

“Saya dapat tahu pun daripada Zulkifli (bapa kepada Fareez Hakimi). Saya terus telefon Amirul guna WhatsApp, memang berbunyi tapi tiada jawapan. Saya sudah tidak dapat fikir panjang, terus ke hospital,” katanya.

Sementara itu, ibu Fareez Ha­kimi, Dahlia Mahamad, 44, pula berkata, dia sukar untuk mene­rima kenyataan bahawa anak­nya itu sudah meninggal dunia namun tetap reda.

Katanya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada suaminya tentang kejadian me­nimpa anak sulung dari tiga beradik itu.

Sementara itu, Zulkifli, 45, ber­kata, meskipun identiti Fareez Hakimi tidak dapat dikenalpasti berikutan dokumen tidak berjaya ditemukan, namun dia mengetahui anaknya terlibat ke­malangan terbabit berdasarkan nombor pendaftaran kereta yang dinaiki mangsa.

“Daripada nombor pendaftaran itu, mereka hubungi saya. Saya memang terkejut dengan kejadian menimpa anak saya. Selepas itu, saya hubungi isteri dan terus ke hospital,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang merupakan saha­bat baik dalam perjalanan pu­lang ke Bera selepas menyelesaikan uru­san kerja di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketika dalam perjalanan pu­lang, kenderaan jenis Ford Ran­ger dinaiki kedua-dua mangsa terbakar setelah bertembung de­ngan lori kontena membawa muatan alat ganti kereta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN