APABILA Ratu Rock Negara, Ella memuat naik hantaran ‘Terima kasih untuk 35 tahun’ selepas memadam semua gambar dan video di media sosial timbul seribu satu spekulasi dalam kalangan peminatnya.
Ada yang menangis, merayu dan memohon agar ‘rancangan’ Ella yang kononnnya dikatakan mahu bersara segera dihentikan. Ramai yang ibaratnya belum bersedia dengan pengunduran diri legenda rock itu dari dunia seni.
Hakikatnya, ramai yang ‘tertipu’ dengan spekulasi sendiri. Hantaran itu hanya sekadar satu penghargaan, kepada setiap satu peminat yang telah bersama legenda rock itu selama 35 tahun berkarya.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak menyangka, ramai sangat yang bertanya. Beribu-ribu komen membanjiri semua platform media sosial saya. Ada yang cakap, bukan sekarang. Ada yang minta satu lagi konsert.
“Malah ada yang menangis meminta saya fikir semula keputusan untuk bersara. Saya sendiri terperanjat. Saya tak pernah mendengar luahan hati peminat, secara dekat. Saya rasa sedih, gembira, terharu.
“Pelbagai perasaan bercampur baur. Saya rasa bersalah juga sebenarnya apabila ramai yang salah sangka. Tak sabar saya mahu tunggu sidang media, jelaskan semua,” kongsinya.
Ditanya adakah dia pernah terfikir untuk mengundurkan diri daripada dunia seni, penyanyi Retak ini menggelengkan kepala. Dia sendiri belum bersedia memberi lambaian terakhir dari atas pentas.
“Tidak pernah terdetik lagi untuk bersara. Bila saya fikir, pertanyaan itu sebenarnya cukup menyedihkan. Saya sudah 35 tahun dalam industri, banyak yang telah ditempuh. Untuk meninggalkan itu semua, cukup sedih.
“Sebelum ini saya sering tertanya-tanya, ada lagi ke yang mahu dengar saya menyanyi? Ada permintaan lagikah? Tetapi apabila begitu ramai yang mengharapkan saya tidak bersara, saya terharu,” katanya.
35 TAHUN JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA

Teruja apabila gelanggang soalan berkaitan konsert mula dibukan, Ella mengakui sebelum ini dia sudah lapan kali menolak undangan beberapa penganjur untuk mengadakan konsert solo berskala besar.
Namun apabila mendapat tawaran Hitman Solutions, dia terbuka hati dan mengimpikan satu konsert yang bakal memberi seribu satu kenangan untuk dibawa pulang oleh peminat yang hadir kelak.
“Setakat ini, persediaan sudah menjangkau 50 peratus. Pemilihan lagu adalah yang hal paling sukar. Saya ada banyak lagu, jadi untuk memilih karya mana untuk dinyanyikan itu susah. Tetapi ada 35 lagu keseluruhannya.
“Konsep, artis jemputan dan berapa segmen juga masih dalam perbincangan. Ada beberapa isu yang perlu diperbaiki dan disusun semula. Tetapi konsert ini akan menampilkan Datuk Acis sebagai pengarah muzik,”katanya.
Ditanya adakah dia bakal menyanyi lagu kegemaran Allahyarham bapanya, Aminudin, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Ella mengangguk setuju.
“Saya tak tahu bagaimana emosi saya ketika menyanyikan lagu tersebut. Kalau boleh saya tak mahu emosi terganggu bila atas pentas. Permintaan lagu memang banyak cuma tak semua saya boleh persembahkan.
“Lagu baru juga dalam perancangan. Begitu juga album baharu. Doakan semuanya berjalan lancar,”katanya.











