KUALA LUMPUR: Persaingan mendapatkan peranan dan keadaan peribadi antara punca seseorang artis terpaksa berdepan dengan situasi tidak mendapat tawaran kerja seni untuk satu-satu tempoh.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, perubahan perubahan dalam industri dan kemajuan teknologi terkini mengikut zaman turut mempengaruhi kehidupan artis sehingga menjadi kebiasaan bagi mereka mengalami tempoh tidak menerima tawaran untuk lakonan atau kerja kreatif lain.
“Dalam situasi sedemikian, artis mungkin menghadapi masalah kewangan, terutama jika mereka bergantung semata-mata pada hasil seni sebagai sumber pendapatan utama. Di Malaysia, terdapat pelbagai pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan yang memberikan bantuan dan sokongan kewangan kepada artis yang menghadapi masalah kewangan.
SOKONGAN
“Seniman juga boleh menawarkan sumber dan sokongan kepada ahlinya. Jika ada artis tempatan yang berdepan kesukaran dan memerlukan bantuan, usah segan menghubungi Seniman kerana setiap permasalahan yang dihadapi oleh artis adalah berbeza-beza mengikut keperluan dan kehendak semasa,”katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, pelakon veteran, Jalil Hamid mendakwa dirinya sudah setahun tidak mendapat tawaran kerja lakon sekali gus terjerat dengan kesempitan hidup.
Sementara itu, Rozaidi tidak bersetuju jika ada pihak membuat andaian bahawa cuma golongan artis veteran yang berdepan dengan kesukaran mendapat tawaran kerja seni.
“Perlu diingatkan, bahawa aduan tentang kebajikan artis mungkin datang tidak cuma daripada artis veteran, tetapi artis muda. Walaupun artis veteran mungkin mempunyai lebih banyak pengalaman dan hubungan dalam dunia seni,ada juga mungkin menghadapi cabaran unik yang berkaitan dengan penuaan, kesihatan atau perubahan dalam industri.
“Artis muda sebaliknya, mungkin menghadapi halangan yang berkaitan dengan kekurangan pengalaman atau pendedahan serta cabaran kewangan yang berkaitan dengan kos pendidikan dan perbelanjaan sara hidup, jadi cabaran kedua-dua generasi ini yang membezakan keluhan hidup mengikuti zaman.
“Maka adalah penting untuk persatuan artis dan organisasi lain terus mendengar kebimbangan artis dan berusaha menangani keperluan dan cabaran mereka. Ini boleh melibatkan komunikasi dan penglibatan berterusan dengan artis itu sendiri serta advokasi untuk dasar dan program yang menyokong kebajikan dan kejayaan semua artis, tanpa mengira umur atau tahap pengalaman mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tidak wajar menganggap semua artis yang berdepan kesukaran hidup turut adalah ahli Seniman.
“Seniman mempunyai 8,000 ahli dalam kalangan artis. Namun saya tidak mempunyai maklumat tentang keadaan semasa artis atau individu yang mempunyai kesukaran hidup mengikut peratusan.
“Saya percaya tidak wajar anggap semua artis di bawah Seniman itu hidup susah. Kita sentiasa berusaha membantu ahli namun masih ada segelintir artis yang merasa terpinggir,” kata beliau. – UTUSAN









