Angkasa sasar bangun 200 Coop Hardware - Utusan Malaysia

Angkasa sasar bangun 200 Coop Hardware

Coop Hardware
ABDUL FATTAH Abdullah (dua kiri) melihat replika projek perumahan itu di Denai Alam, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan membangunkan 200 outlet koperasi pembekal bahan binaan (Coop Hardware) di bawah satu konsortium menjelang 2025.

Inisiatif itu bertujuan menawarkan bahan asas pembinaan perumahan dengan harga lebih murah sehingga 15 peratus berbanding pasaran sedia ada.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran itu selaras dengan usaha pihaknya dalam membantu mengurangkan kos bahan binaan sektor hartanah tempatan dan sehingga kini sebanyak 20 cawangan Coop Hardware di selruh negara sudah berdaftar.

“Angkasa menjadi platform kepada koperasi itu membeli bahan secara pukal dengan pembekal luar negara sekaligus dapat menjualnya dengan harga murah.

“Kami menyasarkan lebih banyak outlet akan dibangunkan menerusi konsortium khas dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya selepas melancarkan Projek Perumahan Mampu Milik Tulip di Denai Alam, hari ini.

Projek pembinaan pangsapuri 32 tingkat bagi warga koperasi itu melibatkan usahasama antara Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (Kopama) dan Chester Denai Alam Sdn. Bhd.

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) projek yang bakal disiapkan pada 2025 itu dimeterai antara Pengerusi Kopama, Datuk Abd. Rahim Hashim dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Chester, Datuk Howard Chew.

Jelas Abdul Fattah, Coop Hardware turut membantu menyediakan rumah atau permis perniagaan kepada ahli koperasi pada harga lebih mampu milik apabila berupaya mengurangkan kos bahan binaan yang kian meningkat seperti besi, simen dan paku.

“Selain mewujudkan konsep rent to own, ia berkonsepkan pembiayaan Musyarakah Mutanaqisah iaitu perkongsian pemilikan rumah antara ahli dan koperasi sehingga pinjaman diselesaikan sepenuhnya.

“Tempoh pembiayaan itu akan dipanjangkan sehingga generasi kedua berdasarkan keanggotaan koperasi mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×