Seronok tayang hidup mewah sampai disiasat SPRM - Utusan Malaysia

Seronok tayang hidup mewah sampai disiasat SPRM

PUCHONG, 27 JANUARI 2021 - Wawancara bersama pelawak, Shuib SEPAHTU di Taman Putra Perdana di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; ROSIHAN, FAHMY, AIDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak terkenal, Shuib mengakui perbuatannya `seronok’ mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial mengundang rasa curiga dan tidak puas hati pihak tertentu sehingga disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 36, mendedahkan dia disoal siasat SPRM berkaitan pengubahan wang haram pada Oktober tahun lalu.

Berkongsi pengalaman kepada Mingguan Malaysia Rabu lalu, Shuib mengakui pada mulanya dia `tidak ambil pusing’ dengan komen-komen orang ramai mengenai perbuatannya yang suka mempamerkan kemewahan kerana berpendapat ia bertujuan promosi dan pemasaran bisnes semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun katanya,tidak disangka, `kegemarannya’ itu menjerat diri sehingga mendorong ada laporan kepada SPRM.

“Mungkin kadang-kadang orang tak suka kita. Orang tengok, kau ini berjaya sangat ya, kita sabotaj dia. Saya akui terlepas pandang perkara itu, sebab secara tidak langsung kita memberi sebab untuk mereka melakukan sesuatu yang tidak baik.

“Kalau dahulu pasal kereta, tapi orang tak tahu kita buat pemasaran dan promosi kedai kereta. Maka kita buatlah, tapi kadang-kadang itu buat orang lain marah. Jadi kesilapan itu kadang-kadang daripada situ juga,” katanya.

Cerita Shuib, dalam tempoh siasatan semua akaun bank miliknya dan ahli keluarga dibekukan dan perkara itu membuat dia mengalami masalah kewangan bagi mendapatkan modal pusingan bisnes.

“Memang susah, sebab di situ pun ada akaun-akaun bisnes lain. Masa itu kritikal. Perbelanjaan sendiri bolehlah, tapi untuk bisnes, nak guna modal pusingan semua, yang itu memang susah. Macam isteri saya nak beli kain dengan ratusan ribu ringgit. Jadi sayalah yang kena cari modal lain dulu. Jolok sana, jolok sini.

“Di situ juga kita boleh tahu siapa yang sebenarnya kawan, dan siapa yang bukan kawan. Bila kena dengan SPRM dahulu ada yang menyalahkan kita 100 peratus. Kita tak sangka ada kawan yang macam ini, yang menyalahkan kita bila akaun mereka kena beku juga,” katanya.

Nama Shuib pernah menjadi sensasi apabila pada 10 Oktober tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan dia dan pasangannya, Siti Sarah dipanggil SPRM kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air yang dijalankan.

Mengulas perkara itu, Shuib berpesan kepada rakan artis lain supaya lebih berwaspada terhadap mana-mana pihak yang menawarkan perniagaan yang tidak diketahui.

“Lepas ini, kalau orang nak tawarkan buat bisnes janganlah pakai ambil saja. Ambil masa untuk selidik latar belakang seseorang itu.

“Tak payahlah buat benda pelik-pelik. Kena selidik dan kena tahu orang itu siapa, kalau boleh ada akses dapatkan nombor kad pengenalan dia, dan boleh terus semak. Ini penting untuk tahu sama ada dia ada kes jenayah atau tidak sebelum ini,” katanya.- MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×