ISU berkaitan kebebasan mahasiswa sememangnya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menjadi barisan hadapan sewaktu demonstrasi mahasiswa pada 1974 dalam memperjuangkan isu kemiskinan dan kelaparan masyarakat di Baling.
Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Demonstrasi sama turut menyebabkan 1,128 daripada 5,000 pelajar yang berdemonstrasi ditahan oleh pihak berkuasa. Slogan Mahasiswa Jurucakap Masyarakat berdendang kuat ketika ini sekali gus menggambarkan pengaruh mahasiswa dalam kalangan masyarakat.
Kebebasan mahasiswa sering ditakrifkan sebagai autonomi penuh mahasiswa atau gerakan pelajar dalam menyuarakan pendapat dan kecaman secara lantang, pengurusan penuh hal ehwal gerakan pelajar dan penyenggaraan kumpulan wang sendiri.
Namun, adanya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) yang menyentuh berkaitan mahasiswa pada seksyen 15 dan 16 dengan Perkara 48 Jadual Pertama mengenai aspek Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dijadikan pekeliling kawalan kepada giat mahasiswa dan didakwa sebagai batu penghadang kepada kebebasan mahasiswa.
PEMERKASAAN MAHASISWA
Namun begitu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Perutusan Tahun Baharu 2023 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam fokus ke-11, Pemerkasaan Mahasiswa telah memberi mesej ruang bakal dibuka seluas-luasnya kepada mahasiswa bebas mengatur urus kehidupan di kampus. Antaranya untuk membuka perniagaan, menguruskan kewangan persatuan serta merencana sendiri cara bekerja dan memperjuangkan agenda mahasiswa. Perkara ini turut dibangkitkan semasa beliau membuat sesi penggulungan di Parlimen baru-baru ini.
Ruang dan tanggungjawab ini hakikatnya bagi saya bukan sebagai tindakan ‘lepas tangan’ pihak kementerian kepada gerakan pelajar mahupun mahasiswa, apatah lagi mandat dan kepercayaan ini diharap tidak dijadikan sebagai rencana politik namun sebagai mengangkat peranan dan hak mahasiswa untuk berpersatuan.
Dengan adanya inisiatif kementerian dalam memberikan kebebasan dan kuasa yang bersesuaian, kemahiran pintar yang berkaitan kecekapan berunding, kemampuan memimpin perbincangan dan bekerja secara efektif dalam pasukan seperti digariskan oleh menteri semakin mudah dicapai.
Insya-Allah, pemerkasaan mahasiswa ini bakal menjadi anjakan paradigma kepada mahasiswa yang berfikiran lebih kritis serta kreatif serta maju ke depan dan meninggalkan amalan lapuk dahulu.
Walau bagaimanapun, agenda pemerkasaan mahasiswa tidak boleh bersifat sekadar cakap-cakap atas angin sebaliknya perlu ada usaha pragmatik ke arah itu. Saya mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan Tinggi segera menangani kekangan AUKU yang masih ada dan sedikit membataskan kebebasan bersuara dan pengurusan kewangan persatuan. Kita sebenarnya memerlukan akta yang memperkasakan kehidupan mahasiswa di universiti dan bukannya mengawal mereka semata-mata.
Dalam hal ini, MPP dan kesatuan pelajar boleh dilibat sama dalam proses memurnikan mekanisme penurunan kuasa seperti pengurusan kewangan persatuan pelajar agar ia dapat disepakati secara bersama. Mekanisme dan garis panduan yang tersusun akan mampu memastikan pengurusan kewangan persatuan pelajar dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
PINDA, BUKAN MANSUH
Biarpun ada desakan supaya agenda pemerkasaan mahasiswa ini menjadi galakan kepada pemansuhan AUKU, namun saya melihat tidak ada keperluan untuk memansuhkan AUKU tetapi meminda segera mengikut keperluan semasa dan dasar kementerian. AUKU sendiri merupakan pemusatan kuasa pentadbiran di peringkat kementerian dan universiti, namun andai hanya mahu memansuhkan AUKU hanya kerana soal kebebasan mahasiswa, itu penulis sifatkan tidak cukup relevan.
AUKU sebenarnya sudah dipinda sebanyak tujuh kali dan kali terakhir dipinda pada 2019 membuktikan keadaan wujud ruang dan peluang untuk menambah baik akta berkenaan mengikut kesesuaian dalam memberi kebebasan kepada mahasiswa. Justeru, MPP Universiti Malaysia Terengganu (MPP UMT) masih percaya AUKU masih lagi relevan, boleh dipinda lagi untuk memperkasa mahasiswa, bukan memansuhkannya.
MPP UMT dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) sudah memulakan siri perbincangan untuk memastikan agenda pemerkasaan mahasiswa ini tidak sekadar menjadi omong kosong dengan cadangan-cadangan untuk mengangkat peranan mahasiswa di UMT.
Dalam konteks MPP UMT, mahasiswa diberikan banyak ruang dalam beberapa jawatankuasa di peringkat universiti agar suara mereka diberikan perhatian dan dijadikan asas dalam pembuatan keputusan. Ini termasuk Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Jawatankuasa Aduan Pelajar dan Jawatankuasa Pengurusan Pembangunan.
Pemerkasaan mahasiswa adalah memberi tanggungjawab kepada mahasiswa di universiti. Pada saat pihak kerajaan, kementerian dan universiti bersikap lebih terbuka, mahasiwa perlu lebih cakna dan bersedia memikul tanggungjawab besar ini dengan penuh amanah dan berintegriti.
Penulis percaya, dengan kebebasan yang semakin melebar untuk mahasiswa dan bimbingan daripada pihak HEPA khususnya dan universiti amnya, pemerkasaan mahasiswa boleh menjadi realiti sekali gus menjana mahasiswa seorang warga negara yang baik.
Inilah masa yang terbaik buat mahasiswa untuk membuktikan bahawa mereka adalah generasi yang mampu mengurus hal ehwal sendiri dengan ilmu, adab dan kematangan.-UTUSAN
PENULIS ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).











