KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan sumbangan politik akan dirujuk kepada salah satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan diwujudkan tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bagaimanapun, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul akan mengumumkan pewujudan jawatankuasa pilihan khas nanti dan rang undang-undang berkenaan akan dirujuk kepada salah satu jawatankuasa itu.
“Saya akan jawab secara bertulis tetapi secara terperinci ialah kita akan rujuk kepada jawatankuasa pilihan seperti yang telah dibincang.
“Saya rasa speaker akan buat pengumuman kepada pewujudan jawatankuasa pilihan dan akta dana politik akan dirujuk kepada salah satu jawatankuasa tersebut,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi jabatan itu di Dewan Rakyat semalam.
Sebelum itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta kepada Johari supaya memberi lebih masa sekurang-kurangnya 10 minit supaya Azalina boleh menjawab semua persoalan mengenai rang undang-undang sumbangan politik.
Poay Tiong dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadang supaya rang undang-undang sumbangan politik disegerakan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, Azalina tidak dapat menghabiskan penggulungannya mengenai perkara itu kerana kesuntukan masa.
Pun begitu, beliau akan menjawab persoalan tersebut secara bertulis.
Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, rang undang-undang berkaitan sumbangan politik sudah siap, cuma memerlukan Azalina mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk dibentang di Parlimen.
Penganalisis politik sebelum ini menggesa supaya kerajaan membentangkannya pada mesyuarat Parlimen bulan lalu, kerana ia sudah lama tertangguh.
Gesaan itu dibuat selepas akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menyeleweng dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan meminda tiga akta bagi menambah baik perlindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual dan menjamin keadilan kepada mangsa.
Katanya, undang-undang itu adalah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792); Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56). – UTUSAN









