BARU-BARU ini, lima media tempatan melaksanakan suatu tinjauan atau kaji selidik bagi meneliti pandangan rakyat terhadap 100 hari pentadbiran kerajaan perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertama sekali, ini adalah suatu usaha yang amat baik oleh pihak media dalam meneliti seterusnya melaporkan bagaimana rakyat menilai perjalanan tugas dan pelaksanaan dasar-dasar oleh kerajaan yang baru terbentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu. Hasrat gabungan media merangkumi audien pelbagai bahasa dalam melancarkan tinjauan itu dapat memberi nilai tambah positif kepada proses pemberitaan serta memberi konteks yang terdapat pandangan, sikap serta tahap pengetahuan masyarakat terhadap isu semasa dan tanggapan mereka pada pentadbiran negara.
Ia turut menyampaikan maklumat tambahan dalam bentuk kuantitatif (boleh diukur) bagi melengkapkan dan memberi asas kepada berita atau apa-apa laporan yang dilakukan oleh media. Namun, data yang membentuk laporan serta pemberitaan tersebut perlulah dihasilkan dengan cara yang betul dan digunakan dengan bertanggungjawab.
Pada masa kini terdapat pelbagai kaji selidik dilakukan bagi mengutarakan isu atau keperluan, biasanya kaji selidik seperti ini dilakukan secara dalam talian, platform media sosial atau di pusat beli-belah. Perkara utama membezakan sama ada sesuatu kaji selidik itu bersifat saintifik atau tidak ialah bagaimana pihak pengkaji memilih siapa yang akan menjawab soalan selidik dalam tinjauan tersebut.
Dalam kaji selidik tidak saintifik, individu menjawab soal selidik tanpa dipilih di mana respons mereka diterima tanpa disaring bagi menepati ciri-ciri taburan penduduk yang ingin dikaji. Terdapat beberapa ciri menjadi asas kaji selidik bersifat saintifik. Tiga perkara utama adalah bagaimana responden dipilih, dari mana responden berada dan siapakah yang menjawab kaji selidik.
Pemilihan responden
Setiap kaji selidik perlu mengimbangi keperluan mendapatkan sejumlah respons yang dapat memberikan ketepatan yang tinggi. Ketepatan pula bergantung kepada jumlah responden dipilih dengan cara yang dapat mewakili pengundi di negara ini serta melakukannya pada kos berpatutan.
Di dalam kaji selidik saintifik, responden dipilih menerusi kaedah statistik untuk memilih individu yang akan menjawab soalan. Pemilihan responden perlulah bersifat rawak di mana peluang untuk setiap individu dipilih adalah sama. Ini bermaksud setiap responden hendaklah mewakili kelompok atau segmen yang wujud di negara, iaitu bertepatan dengan taburan jantina, umur, tempat tinggal (sama ada bandar ataupun desa) serta tahap pendapatan isi rumah serta sektor pekerjaan.
Sekiranya hanya individu yang melayari laman web tertentu berpeluang untuk menjawab soalan, ini akan membawa bias ke dalam hasil kajian kerana mereka yang tidak menjadi pengguna laman web tersebut tidak berpeluang untuk menjawab soal selidik tersebut. Tahap sejauh manakah sampel responden mewakili penduduk itulah sebenarnya yang mempengaruhi ketepatan sesuatu kaji selidik. Sekiranya dipilih dengan betul, kaji selidik yang mempunyai hanya 1,200 responden boleh mewakili 21 juta pengundi di Malaysia.
Komposisi, lokasi responden
Sekiranya responden terdiri daripada pelanggan sesuatu produk ataupun portal media menjawab soalan, ini bermaksud dapatan kaji selidik itu mewakili kumpulan pelanggan produk atau portal tersebut. Ia tidak boleh ditakrifkan sebagai mewakili keseluruhan rakyat sesebuah negara.
Perkara yang turut perlu dilihat, dari lokasi manakah responden itu berada, adakah mereka tinggal di bandar ataupun desa? Ini kerana terdapat perbezaan dari segi bagaimana isu dan keperluan masyarakat di sesuatu tempat yang akan mempengaruhi pandangan mereka terhadap pentadbiran negara.
Kaedah menemu bual responden
Buat masa ini terdapat tiga kaedah utama bagaimana seseorang responden ditemu bual – secara bersemuka, menerusi panggilan telefon atau secara dalam talian. Kesemua kaedah mempunyai kekuatan masing-masing sekiranya dilakukan secara saintifik, iaitu sampel yang dipilih secara rawak dan mewakili kelompok penduduk.
Kaji selidik berasaskan individu yang menjawab soalan tanpa dipilih menerusi kaedah dalam talian lazimnya tidak saintifik dan keputusannya tidaklah dapat mewakili penduduk sesebuah negara. Akhir kata, amalan melakukan kaji selidik ini bukanlah suatu perkara yang mudah.
Sejak kebelakangan ini, kaji selidik yang lazim dilaksanakan di negara-negara maju oleh badan bebas pun kadangkala tersasar dan tidak dapat menjangka perkara seperti keputusan pilihan raya. Hal ini biasanya berkisar kepada ketepatan dalam mendapatkan responden yang mewakili kesemua kelompok.
Di Malaysia pula, kita menghadapi satu lagi cabaran di mana ramai rakyat tidak mahu berkongsi parti mana yang akan mereka pilih kerana lambat membuat keputusan ataupun ragu dengan pengkaji. Dengan itu, adalah penting bagi pengamal untuk melaksanakan kaji selidik yang menepati piawaian saintifik agar keputusan diperoleh itu mencerminkan situasi sebenar.
Perkara ini bukan sahaja akan menyuburkan budaya sumbang saran dalam konteks demokrasi di Malaysia malah turut akan membantu meningkatkan kepercayaan rakyat kepada industri kaji selidik di negara ini. –UTUSAN
PENULIS ialah Pengarah Program Merdeka Center.











