Mangsa bah di Melaka meningkat 380 orang

Mangsa bah di Melaka meningkat 380 orang

KAMPUNG Parit Penghulu di Jasin, Melaka antara kawasan terjejas banjir akibat hujan lebat berterusan sejak Selasa lalu. – FOTO/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Jasin terus menjadi daerah paling terjejas di Melaka akibat banjir susulan hujan lebat yang berterusan melanda seluruh negara sejak Selasa lalu.

Setakat pukul 12 tengah hari semalam, jumlah mangsa terjejas di dua daerah meningkat kepada 380 orang berbanding hanya 162 orang hari sebelumnya.

Pengarah Angkatan Pertaha­nan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim ber­kata, situasi banjir di negeri ini masih terkawal dengan hanya enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu lima di Jasin dan satu di Alor Gajah.

Beliau berkata, kuantiti air hujan yang turun secara berterusan melebihi 24 jam menyebabkan berlaku peningkatan paras air di lembangan sungai.

‘“Peningkatan paras air menyebabkan limpahan air berlaku di kawasan kediaman penduduk yang rendah dan berisiko dinaiki air banjir.

“Kumulatif air hujan pada Rabu lalu di beberapa lokasi Ste­sen Telemetry Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan bacaan mencecah 100 milimeter (mm),” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini sema­lam.

Jelas Kamarulsyah, kawasan yang terjejas di Jasin membabitkan Kampung Sungai Dua Asahan, Kampung Pondok Batang, Kampung Bukit Asahan, Kampung Chohong, Sempang Bekoh dan Kampung Tersusun Seri Mendapat.

Turut dinaiki air adalah Kampung Janda Berhias, Kampung Parit Penghulu, Kampung Tasik, Kampung Batu Gajah Pasir, Parit Putat Benteng, Parit Sidang Seman Benteng dan Batu Gajah Jalan Simen.

“Kesemua mereka yang berjumlah 365 orang terdiri daripada 90 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Chohong, SK Seri Mendapat, SK Parit Penghulu, SK Parit Gantong dan SK Batu Gajah.

“Di Alor Gajah hanya ada satu PPS dibuka iaitu di Balai Raya Bukit Tambun yang menempatkan 15 mangsa daripada tujuh keluarga. Kawasan yang terjejas adalah Kampung Bukit Balai, Kampung

Bukit Tambun, Kampung Gadek, Kampung Panchur, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×