Obsesi Deborah Priya Henry, si ratu cantik - Utusan Malaysia

Obsesi Deborah Priya Henry, si ratu cantik

DEBORAH PRIYA HENRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengalaman menjalankan aktiviti kemanusiaan bersama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) suatu ketika dulu membuatkan ratu cantik, Deborah Priya Henry terdetik untuk melakukan sesuatu.

Berpeluang melihat realiti kehidupan mereka secara lebih dekat menerbitkan rasa simpati figura itu lalu menubuhkan satu institusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan kualiti hidup mereka – Fugee School.

“Saya terkejut melihat keluarga pelarian Somalia pada ketika itu tinggal tidak jauh dari ibu kota yang pesat membangun hidup dalam keadaan daif. Tidak boleh bekerja malah anak-anak tidak boleh ke sekolah,” ujarnya kepada Seri baru-baru ini.

Jelitawan ini memberitahu, hanya dengan pelajaran dapat membantu anak-anak kurang bernasib baik untuk menikmati kehidupan lebih baik. Justeru, dia tekad menubuhkan Fugee School, khas untuk memberi pendidikan kepada anak-anak pelarian.

Biarpun, sesetengah orang mungkin mempersoalkan kewajaran perkara itu, namun personaliti berusia 35 tahun ini tetap optimis mengatakan setiap individu berhak mendapatkan yang terbaik dalam hidupnya.

“Saya percaya setiap dari kita mempunyai hak untuk mendapatkan hidup yang baik. Anak-anak ini (pelarian) juga berhak untuk mendapat pendidikan, ke sekolah, bermain dan bergembira.

“Saya percaya hanya dengan pendidikan dapat mengubah hidup seseorang. Dengan pelajaran juga boleh jadikan seseorang berjaya dan mampu mengubah keadaan keluarga menjadi lebih baik,” katanya.

Fugee School ditubuhkan pada 2009 bagi menawarkan sesi pembelajaran lebih intensif. Bermula dengan 50 pelajar, ia kini memiliki 200 pelajar antara empat tahun hingga 20 tahun. Sepanjang 11 tahun penubuhannya dianggarkan kira-kira 500 pelarian yang rata-rata berasal dari Somalia, mendapat manfaat ilmu. Hingga kini ia memiliki 10 tenaga pengajar.

Kata Deborah, pada peringkat awal penubuhan, beliau turut mengambil inisiatif mengajar kelas tambahan Matematik dan bahasa Inggeris kepada anak-anak pelarian itu.

Miss Universe Malaysia 2011 ini menegaskan kerja amal dilakukan itu, bukan semata-mata untuk mengejar nama atau gelaran sebagai ratu cantik diungguli itu semata-mata.

“Ramai beranggapan kerja amal sinonim dengan seorang ratu, namun saya mengakui apa yang saya lakukan ini, adalah berlandaskan kecintaaan membantu golongan kurang bernasib baik.

“Tidak pernah pun saya terfikir mahu berpatah balik. Saya berpegang kepada prinsip setiap manusia berhak untuk bahagia. Walaupun saya belum ada anak, tetapi dengan melihat anak-anak pelarian ini belajar dan melanjutkan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi, ia sudah cukup menggembirakan saya,” katanya yang turut memberitahu, ingin menimang cahaya mata sendiri apabila tiba waktu sesuai nanti.

 

 

Deborah bersama sebahagian pelajar di Fugee School.

Mengulas mengenai cabaran dihadapi sepanjang penubuhan sekolah itu, kata Deborah dugaan itu datang dalam pelbagai bentuk termasuk mengalami kekurangan dana.

Namun keputusan dana tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan anak-anak kesayangannya itu.

“Tekanan itu memang ada. Tapi usaha juga perlu ada. Kami lakukan bermacam cara untuk mengumpul dana seperti mewujudkan kedai jualan aksesori wanita secara dalam talian iaitu Fugeelah.

Setiap hasil jualan itu akan menyumbang semula kepada Fugee School,” katanya. Deborah turut dilihat ligat mempromosi aksesori itu kepada umum.

IMPAK KEPADA DIRI

Deborah menjelaskan, kerja amal dilakukan bukan sahaja membantu mengubah kehidupan golongan pelarian tetapi juga dirinya untuk menjadi lebih berperikemanusiaan dan belajar bersyukur dengan setiap apa dimiliki.

Perkara itu bagaikan satu sisi kehidupan lain bagi ratu cantik ini yang sebelum ini terbiasa dikelilingi kehidupan serba glamor dan mewah.

“Pertubuhan ini banyak mengajar erti kemanusiaan kepada saya. Kehidupan sebagai ratu cantik, pengacara dan model membuatkan saya terdedah dengan kehidupan glamor dan diva.

“Bila dikelilingi golongan ini (pelarian) saya belajar menjadi lebih rendah diri, menghargai orang lain serta bersyukur seadanya,” katanya. Beliau aktif menjalani kehidupan selebritinya hingga ke hari ini.

TRIVIA:

Deborah Priya Henry

Tarikh lahir: 7 Julai 1985

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang sains politik dan ekonomi dari Universiti Queensland, Brisbane, Australia.

• Miss Malaysia World 2007 dan Miss Universe Malaysia 2011.

• Pengasas bersama Fugee, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelarian dengan matlamat memperjuangkan hak pelarian membina kehidupan bermakna melalui persamaan dan capaian.

• Mula berkecimpung dalam dunia peragaan seawal usia 14 tahun.

• Pentas peragaan pertamanya ialah Padini dan Seed.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×