UMNO sabar tunggu keputusan RoS

UMNO sabar tunggu keputusan RoS

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO masih menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang keputusan daripada jabatan berkenaan, namun menegaskan segala bukti dan dokumen telah diserahkan kepada RoS untuk meneliti ketetapan yang dibuat parti itu.

“Saya sudah jelaskan kepada RoS tentang perkara ini, saya tidak nampak ada kesukaran dari segi keputusan yang akan dibuat RoS.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jawapan secara bertulis pun sudah, bersemuka pun sudah, kita bersabar menunggu,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen, semalam.

Pada 15 Februari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa peraturan mesyuarat dan Perlembagaan UMNO telah diikuti sepenuhnya termasuk Klausa 9.3 dan 9.4 Perlembagaan UMNO yang telah dijelaskan kepada RoS.

Menurutnya, Perhimpunan Agung UMNO merupakan badan tertinggi UMNO, maka keputusan untuk menambah usul yang telah dibentangkan itu telah di­teliti oleh pihak RoS dan juga oleh kumpulan peguam parti selain Setiausaha Agung UMNO.

Maka, Ahmad Zahid berkata, UMNO yakin RoS akan meluluskan usul tambahan diluluskan pada PAU 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu tahun ini.

Bagaimanapun, Naib Pre­siden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, RoS sepatut­nya menangguhkan proses pemilihan UMNO sehingga satu keputusan dicapai bagi permo­honan usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) berkenaan pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ini kerana jelasnya, perkara ini akan menjadi konflik sekiranya RoS mendapati usul yang diluluskan dalam PAU 2022 itu bertentangan dengan perlembagaan parti.

Malah, Ismail Sabri turut mem­beritahu, perkara ini juga men­jadi antara sebab beliau tidak mempertahan jawatan Naib Pre­siden UMNO dalam pemilihan kali ini.

Mengulas lanjut, Ahmad da­lam masa yang sama turut memperincikan butiran yang telah diserahkan kepada RoS.

“Dalam peraturan mesyua­rat ada perkara 2.1, jika timbul masalah dalam satu masalah, dalam persidangan kuasa yang ada pada Pengerusi Tetap dan kuasa Pengerusi Tetap itu muktamad. Pada hari berkaitan timbul masalah dari tujuh menjadi lapan usul, maka Pengerusi Tetap menyelesaikan masalah itu kepada peraturan mesyuarat yang mana antara lain peraturan mesyua­rat menyebut usul tambahan hendaklah disokong, maka usul Negeri Sembilan itu disokong Terengganu. Maka, ia dibahaskan. Selepas dibahaskan, maka diundi. Undian dibuat dengan cara angkat tangan.

“Tafsiran peguam kami, semuanya ikut peraturan. Dalam perkara 2. 2 menyebut jika ada sebarang pertikaian tuduhan itu dan ini, keputusan Majlis Kerja Tertinggi adalah muktamad. Dalam MKT baru-baru ini, buat ketetapan apa yang berlaku dalam persidangan itu. Jadi, ia sudah mengikat dua kali tentang perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini