PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu menjadi salah satu komponen dalam Perikatan Nasional (PN) yang bertujuan memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon agar Pejuang diterima sebagai salah satu parti komponennya.
Kata beliau, lebih menguntungkan sekiranya menyertai dan menggunakan lambang PN berbanding memeterai kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya yang hanya disebabkan ingin mengelak dari pertindihan kerusi.
“Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN. Setentunya ini bermakna kesepakatan Pejuang dengan PN itu tidak terhad hanya kepada pilihan raya negeri yang bakal berlangsung Jun ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang.
“Penyertaan Pejuang sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang mendatang,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pejuang mengambil keputusan untuk keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dan dipercayai keputusan tersebut diambil ekoran kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Sehubungan itu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama 12 pemimpin parti bertindak keluar dan 11 daripadanya turut mengikuti bekas Perdana Menteri itu menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, surat permohonan tersebut turut dihantar kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.
Jelasnya, keputusan untuk membuat permohonan tersebut sudah disepakati oleh Majlis Eksekutif Pusat Pejuang dua hari selepas penelitian dan penilaian khusus semua opsyen-opsen gabungan mahupun kerjasama politik yang ada.
“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2,” katanya. – UTUSAN










