PETALING JAYA: Kira-kira 20,000 kanak-kanak menyertai program Anugerah Artis Muda Faber-Castell 2022 yang direka untuk menyediakan bakat muda dengan pengetahuan dan alat untuk menjadi kreatif.
Menurut satu kenyataan, Faber-Castell memupuk aktiviti kelestarian alam sekitar melalui kreativiti anak muda sebagai satu langkah dalam mendidik mereka daripada usia kecil.
“Justeru menggunakan kreativiti untuk mendidik kelestarian adalah kunci dalam memastikan kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu seterusnya terlibat sama dalam pemeliharaan alam sekitar.
“Dengan itu, program Anugerah Artis Muda Faber-Castell 2022 direka untuk menyediakan bakat muda dengan pengetahuan dan alat untuk menjadi kreatif dalam melibatkan mereka dalam memacu perubahan.
“Edisi kedua program itu yang bertemakan ‘A Greener Nature, A Better Future’ menerima lebih 20,000 penyertaan daripada pelajar berumur antara lima hingga lapan tahun (Kategori A) dan sembilan hingga 12 tahun (Kategori B),” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Lee Hao Xuan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chio Min muncul sebagai pemenang utama kategori A.
Kenyataan tersebut berkata, Hao Xuan mengakui menghabiskan banyak masa untuk meneliti kehidupan marin dan menyampaikan ideanya melalui karya seninya.
“Bagi Kaden Yap Kai Tehn, 12 tahun dari SJK (C) Yuk Chai yang merupakan pemenang utama bagi kategori B, pertandingan ini telah membawanya lebih dekat dengan topik mengenai hidupan liar, flora dan fauna serta pemeliharaan hidupan laut (sekaligus) menjadikan dia seorang pencinta alam,” katanya. – UTUSAN











