PETALING JAYA: Jumlah peratusan pemilikan tanah rizab Melayu direkodkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) didakwa tidak sama dengan jumlah peratusan sebenar yang masih ada ketika ini.
Presiden Jaringan Bertindak Tanah Pemilikan Melayu (JTM), Mohd. Azmi Abdul Hamid mendakwa, perkara itu dibuktikan menerusi siasatan pihaknya terhadap beberapa tanah rizab Melayu di negara ini.
“Memang PTG ada rekod tanah rizab Melayu tetapi apabila pihak kami pergi menyiasat dan memantau beberapa tanah, kami dapati ia diduduki oleh orang bukan Melayu. Jadi apa yang dicatatkan tidak selaras dengan realiti.
“Contohnya, ada pasar raya dibangunkan atas tanah rizab Melayu dan ia bukan dimiliki oleh orang Melayu. Jadi pihak pengurusan tanah rizab Melayu digesa mengkaji perkara itu dengan sedalamnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Azmi berpendapat, tanah rizab Melayu semakin berkurangan kerana dasar dan undang-undang kerajaan negeri yang lemah dan mudah untuk diambil kesempatan.
“Tanah rizab Melayu adalah di bawah kuasa kerajaan negeri jadi undang-undang peringkat berbeza dan ada dasar yang lompong sehingga pemindahan milik tanah itu mudah berlaku.
“Integriti pengurusan juga boleh dipersoal apabila ada orang boleh ambil kesempatan, ada campur tangan pihak tertentu sehingga tidak dapat dikesan dan terhakis tanah orang Melayu,” katanya.
Mohd. Azmi menggesa supaya sebuah badan pemantau bebas ditubuhkan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai tanah rizab Melayu.
“Biasanya PTG negeri dan daerah yang menentukan tanah mana milik orang Melayu tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku. Maklumat terkini dalam tempoh 10 tahun pun tidak ada, sangat sukar untuk mendapatkan yang terkini.
“Jika sebuah lembaga atau majlis khas ditubuhkan, ia dapat memantau dan memberitahu status terkini tanah rizab Melayu, dapat melaporkan secara bebas dan dapat membentangkan laporan kepada Majlis Raja-Raja Melayu oleh kerana tanah adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN











