Solat, sabar hadapi dugaan - Utusan Malaysia

Solat, sabar hadapi dugaan

ibu tunggal, Saaidah Puteh tetap memikul tanggungjawab membesarkan sembilan orang anaknya walaupun berdepan kekangan ketika mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila terpaksa berkongsi dua telefon pintar yang salah satunya adalah kepunyaan arwah suaminya.– Utusan/Shahir Noordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita baharu menyambut tahun 2021. Sedar atau tidak, usia kita terus meningkat di sebalik pandemik Covid-19 yang tidak dapat dipastikan bila akan berakhir. Sememangnya, Covid-19 yang menjadi pandemik sejak Mac lalu banyak mengubah gaya hidup seharian kita.

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) merekodkan seramai 99,696 pekerja diberhentikan atas pelbagai sebab antara Januari hingga 27 November lalu.

Antara sebab itu ialah penutupan perniagaan, pengecilan tenaga kerja, Skim Pemisahan Sukarela (VSS), Skim pemberhentian Kerja dengan Persetujuan Bersama (MSS), syarikat mengalami masalah kewangan kritikal, penutupan separa, pengambil alihan dan penempatan semula syarikat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, faktor itu disebabkan tekanan dialami semua industri secara global berikutan pandemik COVID-19.

“Berdasarkan rekod SIP hingga 27 November lalu, bilangan kehilangan pekerjaan membabitkan kategori pengurus ialah seramai 13,109 orang manakala profesional (26,079 orang) serta juruteknik dan profesional bersekutu (19,095 orang),” katanya di Dewan Rakyat.

Pada 5 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan pendedahan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar, sejumlah 6,569 pasangan bercerai sejak 18 Mac hingga 18 Jun lalu.Kes perceraian tempoh PKP disifatkan tinggi akibat hilang pendapatan, pengangguran dan tekanan. Untuk rekod, Selangor mencatatkan 1,252 kes perceraian diikuti Kedah (697 kes) dan Kelantan (659) manakala Perlis hanya mencatatkan 104 kes.Malah media melaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai pensyarah di universiti awam didakwa mati dijerut oleh suaminya menggunakan tudung disebabkan mangsa ingin memfailkan perceraian. Kejadian itu dipercayai berpunca dengan kehadiran pihak ketiga antara kedua-dua pasangan.

Sememangnya semua orang terjejas ekoran Covid-19. Jika tidak sabar dan kuat iman, pasti ramai yang kecundang dalam berhadapan ujian. Ini diperjelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar,(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). (al-Baqarah: 156-157)

Dalam berhadapan situasi begini, para suami mesti ada semangat kental. Jika diberhentikan kerja dan seumpamanya, jangan putus asa. Yakinlah rezeki Allah itu luas. Yang penting, teruskan usaha dan berdoa. Jika dulu kita golongan profesional dan kolar putih, jangan malu buat kerja-kerja kolar biru.

Tahniah kepada golongan profesional yang tidak segan menukar profesion mereka. Antaranya, golongan juruterbang yang bertukar kerjaya sebagai peniaga burger dan juga penanam nanas.
Golongan beginilah yang disifatkan lebih baik sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Demi Allah, sesungguhnya orang yang membawa seberkas kayu di atas belakangnya adalah lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang lain sama ada diberi atau pun tidak”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

RUMAHKU SYURGAKU
Sayangnya, majoriti kita hanya percaya tetapi belum sampai ke peringkat yakin. Allah sebut dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya ia adalah benar-benar berat kecuali ke atas orang-orang yang khusyuk”. (al-Baqarah: 45)

Ramai yang membaca ayat di atas tetapi berapa ramai yang yakin dengan jaminan Allah agar mohon pertolongan dengan sabar dan solat. Realitinya, masih ada yang hilang kerja dan mata pencarian tetapi hanya ‘bersabar’, tidak mahu cari kerja dan tidak solat.

Salah satu tempat untuk beristirahat dan mencari ketenangan adalah di rumah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal…”. (an-Nahl: 80)

Sebab itu, adalah penting untuk membentuk keluarga bahagia yang menjadi idaman dan mempunyai biah yang disebut ‘Rumahku Syurgaku.’ Rumahtangga yang bahagia tentu akan lebih sempurna, jika pasangan suami isteri itu memiliki mahligai atau rumah tempat tinggal mereka bersama anak-anak dan ahli keluarga.

Malah Rasulullah SAW pernah berdoa, sebagaimana doanya yang bermaksud: “Ya Allah, ampunilah dosaku, luaskanlah rumahku, berilah barakah dalam rezekiku”. (riwayat An-Nasa’ie)
Dalam hal yang sama, Rasulullah SAW telah bersabda, “Janganlah kamu menjadikan rumahmu itu seperti kubur (tidak pernah kamu sembahyang sunat ataupun membaca al-Qur’an dan ibadat lain di dalamnya). Sesungguhnya syaitan akan lari dan menjauhkan diri daripada mana-mana rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah”. (Riwayat Muslim)

SYAITAN

Untuk itu, sempena tahun baharu 2021, marilah kita menghiasi rumah masing-masing dengan amal ibadat yang wajib dan sunat. Banyakkan membaca al-Quran kerana rumah yang hanya dipenuhi gelak ketawa dan hiburan diibaratkan kubur yang sunyi di mana syaitan serta iblis akan menguasainya.

Masjid, surau dan para pendakwah juga terkesan dengan Covid-19. Masjid dan surau banyak yang terpaksa ditutup daripada solat jemaah dan program pengimarahan. Jika dibuka pun, bilangan jemaahnya dihadkan bergantung mengikut zon hijau, kuning, jingga dan merah.

Bila berlaku demikian, kantung masjid dan surau banyak yang terjejas. Yalah, biasanya antara punca utama dana masjid adalah daripada sumbangan hari Jumaat. Apabila solat Jumaat tidak dapat dijalankan dan jika dilaksanakan pun dengan bilangan yang terhad, tabung masjid turut susut.

Hal yang sama, turut berlaku kepada para asatizah. Paling terasa adalah mereka yang terlibat sepenuh masa sebagai penceramah dan pendakwah. Kelas-kelas pengajian di masjid dan surau masih banyak yang tergendala.

Untuk itu, marilah kita menyumbang jika tidak banyak, hulurkan sekadar kemampuan untuk mengisi tabung-tabung masjid dan surau. Ia bukanlah sukar dalam situasi di mana kita boleh membuat pindahan wang secara dalam talian.

Jika anak-anak kariah masjid dapat menyumbang RM5 bagi setiap rumah, insya-Allah tabung masjid akan kembali terisi. Dengan demikian, kuliah dan pengajian secara dalam talian akan dapat diteruskan.

Seperkara yang mungkin masyarakat terlepas pandang, dalam keadaan sulit sekarang, ramai datang ke masjid memohon bantuan kecemasan. Jika masjid ada sumber kewangan yang cukup, mudahlah disalurkan bantuan kepada golongan ini. Sedikit yang kita sumbangkan, besar nilainya bagi mereka yang memerlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×