Tempahan baju raya luar biasa tahun ini - Utusan Malaysia

Tempahan baju raya luar biasa tahun ini

HASNAH MAHMOOD menunjukkan antara tempahan baju sekolah dan baju raya yang telah disiapkannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang tukang jahit di Sungai Rengit, dekat sini kini tidak menang tangan apabila menerima tempahan luar biasa tahun ini ekoran tarikh sesi persekolahan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang begitu hampir.

Hasnah Mahmood, 47, yang menjalankan perniagaan jahitan sejak 10 tahun lalu mengakui tempahan kali ini lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

Bagi memastikan tempahan pelanggan dapat disiapkan pada masa yang dijanjikan, dia kini tidak lagi menerima tempahan baharu.
“Memang berbeza dengan tahun lalu kerana tempahan kali ini agak luar biasa ditambah pula sesi persekolahan dan Aidilfitri begitu hampir. Tahun ini juga kita lihat orang betul-betul mahu beraya, kalau tahun sebelum­nya masih takut-takut dengan ­Covid-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ramai juga pelanggan yang membuat tempahan seawal September tahun lalu bagi baju raya, manakala bagi pakaian sekolah memang masih ramai yang lebih suka menghantar kepada tukang jahit berbanding membeli yang sudah siap di pasar raya.

“Kebanyakan ibu bapa lebih selesa menyuruh saya membuat pakaian sekolah anak mereka kerana ada saiz yang mereka ­inginkan tidak dijual. Jika ada pun beli di pasar raya terpaksa hantar ke kedai jahit untuk pembaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, meskipun kadangkala terpaksa balik hingga lewat malam untuk menyiapkan tempahan, namun itu tidak menimbulkan masalah baginya, malah menganggap itu sebagai rezeki.

Dia yang sebelum ini bekerja dalam bidang pemasaran mula memberi tumpuan terhadap jahitan selepas menetap di rumah orang tuanya di Kampung Lepau, Pengerang.
“Saya memang minat menjahit bahkan sejak tingkatan enam saya sudah menjahit baju sekolah sendiri. Ibu pandai menjahit, maklum sahaja dahulu susah dan baju raya, baju sekolah memang ibu buat sendiri untuk kami adik beradik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN